SEPANG: Pemuda Umno diingatkan supaya tidak mengambil mudah penubuhan parti baharu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata adalah terlalu angkuh untuk menganggap sedemikian kerana parti baharu itu ditunjangi nama-nama besar seperti Tun Mahathir sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. "Saya tidak mahu dengar ada kalangan Pemuda berkata ia hanyalah parti serpihan atau parti kecil yang tidak akan bertahan lama...itu angkuh namanya dan orang Melayu tidak suka. "Sepatutnya kita kata tidak apa, penubuhan parti itu kita ambil serius sebab yang tubuhkannya adalah orang-orang besar, namun kita tetap yakin dan percaya parti itu tidak akan mendapat sokongan majoriti orang Melayu berbanding Umno," katanya. Berucap semasa menutup Persidangan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Sepang di sini, malam tadi Khairy berkata keadaan mungkin berubah jika parti yang akan ditubuhkan itu membawa agenda lebih besar kepada negara, bukannya semata-mata untuk menjatuhkan seorang pemimpin. Beliau berkata hasrat parti yang dikatakan bakal diterajui Muhyiddin itu, bertujuan menarik sokongan dari kalangan penyokong dan anggota Umno bagi menjayakan agenda menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh Pemuda selaku benteng hadapan parti. Selagi Presiden tidak membuat perkara yang salah, selagi memegang amanah dengan baik, tanggungjawab kita sebagai orang muda di dalam parti adalah untuk mempertahankan institusi presiden dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokratik, katanya. Khairy sekali lagi menegaskan bahawa anggota dan Pemuda Umno tidak perlu risau digelar 'macai', 'balaci' atau lain-lain gelaran negatif dalam peranan mempertahankan parti dan Presiden kerana ia merupakan tugas yang perlu dilalui selaku jentera parti. "Kita perlu gandakan usaha pastikan Presiden tidak keseorangan, pastikan apa yang disebut oleh Presiden dibawa kepada masyarakat, cakaplah dan sebutkan ia di mana sahaja kerana itu memang peranan kita selaku tangan dan jentera kepada Presiden," katanya. Dalam pada itu, Khairy berkata anggota Umno tidak boleh mempunyai sikap mudah mengalah terhadap persepsi negatif yang dicipta musuh sebaliknya perlu bangkit dan tangkas mempertahankan parti terutamanya dalam persekitaran politik yang mencabar ketika ini. Beliau berkata Umno tiada masalah dalam aspek khidmat masyarakat tetapi pertarungan melawan sentimen merupakan cabaran yang perlu ditangani dengan lebih cemerlang oleh jentera penerangan, khususnya dalam menangani fitnah, cacian dan cemuhan di alam maya.