SEPANG: Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah menemui formula pemilihan calon yang tepat untuk memecahkan tembok kemustahilan menawan semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketika melancarkan serentak mesyuarat perwakilan Umno bahagian-bahagian seluruh negeri Selangor di sini Sabtu, Najib yang merupakan Presiden Umno dan Pengerusi BN, berkata pengalaman kekalahan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan kemenangan bergaya pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi menjadi pengajaran dalam memperoleh formula itu. Menjadikan kekalahan BN di Parlimen Sepang pada PRU13 sebagai contoh, beliau berkata, faktor terbesar yang menyebabkan kekalahan itu adalah kerana perpecahan dalaman Umno di peringkat bahagian. "Ini amat jelas bila kita hitung majoriti kekalahan kita di peringkat parlimen agak kecil iaitu 1,100 dengan ada dua calon bebas yang kedua-duanya bekas pemimpin (Umno) di peringkat bahagian. "Jika dihitung undi bebas yang sepatutnya merupakan undi Umno/BN, kita pasti menang di Parlimen Sepang dan bukan itu sahaja, kalau kita ambil angka undi rosak pun kita boleh menang, apatah lagi kalau kita campur undi rosak dan undi calon bebas kita boleh menang dengan selesa," katanya. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk Nor Hayati Onn, Ketua Pemuda Umno Selangor, Zainuri Zainal dan Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing. Najib berkata, perkara itu mesti dijadikan sebagai pengajaran supaya tidak memilih calon secara semberono sehingga menolak calon popular yang mampu memberi kemenangan kepada parti hanya kerana individu tersebut bukan daripada 'kem' yang sama. Mengambil kira faktor tersebut, ketika berdepan dengan PRK Sungai Besar, beliau berpesan supaya formula baharu dicari untuk memilih calon yang diterima oleh semua pihak. "Sekarang kita sudah ada sistem baharu, sebab itu bila buat pemilihan, timbul calon kita saudara Budiman Mohd Zohdi. Sedikit sebanyak 'The Budiman factor' menyumbang kepada kemenangan kita. "Pemilihan kita tepat kali ini. Kita juga menang kerana Tan Sri Noh Omar kerja keras ketuai jentera kita, bila kita ada 'teamwork' yang kukuh dan padu, bila kita bertindak sebagai semangat sepasukan yang jitu, maka kemenangan dapat kita peroleh," katanya. - Bernama