KUALA LUMPUR: Dua wanita, seorang daripadanya dipercayai hamil dan seorang lelaki maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang berhadapan sebuah pasar raya di Puchong, Ahad. Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata ketiga-tiga mangsa, dipercayai berumur sekitar 30-an, tercampak keluar dari kenderaan terbabit akibat kemalangan di Jalan PU3, Taman Puchong Utama itu. "Kereta jenis Honda HRV yang dinaiki mereka juga rosak teruk akibat nahas itu," katanya ketika dihubungi Bernama. Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 10.06 pagi. Mohd Sani berkata semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.-- Bernama