PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bakal diterajuinya tidak mengharapkan sokongan ahli Umno. Beliau berkata, Bersatu menyediakan ruang baharu untuk sesiapa sahaja bukan hanya untuk ahli Umno dengan perjuangan yang sama. Katanya, parti itu memperjuangkan agenda reformasi dan keadilan yang menyeluruh untuk memelihara setiap hak rakyat tanpa mengira kaum dan agama, menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran. "Saya tidak harapkan sokongan dalam Umno kerana mereka ahli Umno. "Bersatu menyediakan ruang baharu bukan sahaja untuk ahli Umno tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai matlamat dan perjuangan sama," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen permohonan bagi mendaftarkan parti politik baharu itu di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) di sini, Selasa. Bagaimanapun Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa terdapat segelintir ahli Umno yang menunjukkan kekecewaan mereka terhadap kepimpinan sedia ada. "Saya faham kerana kami pun bekas ahli Umno, boleh dikatakan ramai ahli parti yang saya kenali menunjukkan perasaan yang tidak menggalakkan terhadap kepimpinan sekarang. Tetapi mereka tidak bersedia untuk menyatakannya secara terbuka," katanya. Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Bersatu tidak dapat bergerak secara bersendirian dan akan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan. "Sebagai parti politik baharu, kita perlu menjalinkan hubungan kerjasama yang rapat dengan parti-parti politik lain," katanya yang merujuk kepada pakatan pembangkang. Tambah Muhyiddin, sebelum penubuhan parti itu, pihaknya mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk parti-parti pembangkang. "Bagi saya, ia agak positif dan menggalakkan. Bila ia didaftarkan secara sah, maka boleh diadakan perbincangan lanjut untuk menunjukkan kerjasama politik yang agak mapan, dan cara itu kita sama-sama dapat berjuang untuk mencapai matlamat bagi menyelamatkan negara," katanya.