KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penghargaan kerajaan terhadap peranan belia bukan bersifat retorik atau berbentuk ungkapan semata-mata tetapi ia diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Katanya, antara tindakan kerajaan itu adalah dengan mewujudkan Parlimen Belia yang bertujuan menyediakan platform untuk membina peranan golongan itu dalam konteks kepimpinan negara. "Kepimpinan belia mesti dipupuk lebih awal, seawal mungkin, kerana kalau kita dapat melakukan ini lebih awal, maka bakat dalam kalangan para pemimpin belia dari segi kepimpinan dan gaya dapat kita lonjakkan. "Saya boleh melihat dan boleh mendengar bahawa mereka (anggota Parlimen Belia) yang berucap sebentar tadi memang mempunyai bakat kepimpinan yang amat baik sekali, saya ucapkan tahniah," katanya berucap pada persidangan Parlimen Belia di Dewan Rakyat pada Selasa. Beliau berkata, langkah itu juga menunjukkan bahawa kerajaan sangat objektif untuk melahirkan pemimpin yang boleh mengisi pelbagai jawatan tertinggi termasuk perdana menteri suatu hari nanti. Najib yang meluangkan masa lebih satu jam mengikuti sesi perbahasan dan penggulungan Parlimen Belia pada Selasa turut memuji gaya dan persembahan perwakilan Parlimen Belia menyampaikan ucapan. "Saya cakap terus terang bahawa saya amat teruja, dengan gaya, bahan yang dikaji selidik untuk satu topik, seperti tadi saya dengar mengenai soal kedaulatan negara. "Saya nampak tadi berucap tentang hubungan antarabangsa, angkatan tentera, kuasa-kuasa besar dan ungkapan yang saya jarang dengar di Parlimen Malaysia seperti 'not our cup of tea' tapi hari ini saya dengar," katanya. Menjelas lanjut, perdana menteri berkata kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan menyediakan peluang seluas-luasnya untuk belia menyatakan pandangan. Katanya, jika kerajaan melakukan sesuatu yang tidak betul dan kurang memuaskan, maka belia boleh menegur secara baik, bukan dengan demonstrasi jalanan atau membuat referendum rakyat kerana kedua-dua perkara itu tidak selari dengan perlembagaan dan undang-undang negara. "Saya bertanggungjawab bersama rakan-rakan (dalam kerajaan) untuk menyediakan sebuah negara yang lebih baik untuk anggota Parlimen Belia hari ini yang akan duduk di barisan hadapan. "Saya akan lakukan dengan penuh kesungguhan untuk membawa Malaysia ke hadapan, lebih berjaya. Ini ikrar saya di hadapan anggota Parlimen Belia sekalian," kata perdana menteri. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said. - BERNAMA