suria

Tempat Ziarah Sepi Ketika Ramadan

ASSALAMUALAIKUM. Selepas menyempurnakan umrah wajib, sebahagian besar jemaah umrah akan mengambil kesempatan menunaikan badal umrah untuk ahli keluarga atau sahabat handai yang telah kembali ke rahmatullah.

Miqat yang paling dekat adalah Masjid Aisyah atau lebih dikenali sebagai Tana’im. Namun, dalam jadual lawatan, selalunya Tana’im tidak tersenarai sebagai tempat ziarah luar yang akan dikunjungi jemaah umrah dan haji.

Lazimnya, miqat dan tempat bersejarah yang dikunjungi ialah Jaaranah dan Hudaibiah kerana sebelum melafazkan niat di kedua-dua miqat berkenaan, jemaah dibawa ke beberapa lokasi bersejarah seperti Jabal Tsur, Jabal Rahmah, Arafah, Mina dan terakhir ialah Jaaranah. Manakala sebelum ke Hudaibiah, jemaah selalunya dibawa ke ladang unta dan Muzium Dua Kota Suci serta melafazkan niat di masjid Hudaibiah.

Sehubungan itu, ketika ziarah luar pada 28 Jun 2016, saya turut memasang niat untuk menunaikan badal umrah bagi ahli keluarga, iaitu arwah anak saudara yang kembali ke rahmatullah pada 9 April 2016.

Sehari sebelum berangkat pulang ke tanah air, sekali lagi saya menunaikan badal umrah dan pada kali itu untuk arwah bapa saya.

Mengerjakan badal umrah ketika berpuasa sudah tentu berbeza. Di setiap lokasi bersejarah dikunjungi boleh dikatakan lengang. Tidak ramai jemaah berziarah malah bagi mereka yang sudah acapkali ke Tanah Suci, ziarah menjadi perkara kedua kerana ramai yang lebih gemar beriktikaf di masjid.

Jika mahu mengerjakan umrah, Masjid Aisyah menjadi pilihan untuk melafazkan niat ihram umrah.Terpulanglah kepada masing-masing untuk berziarah atau sebaliknya kerana sudah semestinya selepas ziarah tubuh menjadi letih.

Namun begitu, saya tidak pula melepaskan peluang untuk ziarah di kota suci Makkah dan Madinah pada Ramadan. Kelainan ketara ialah tidak ramai jemaah di setiap tempat ziarah. Ketika di Madinah, pasar dan ladang tamar sunyi. Keadaan sekeliling bersih kerana tiada yang minum teh di ladang tamar dan merasa tamar atau coklat yang diberi percuma.

Di Masjid Quba’ juga tidak ramai dan ini membolehkan jemaah umrah bersolat dengan penuh ketenangan dan lebih lama. Suasana lengang juga dilihat apabila tiba di Bukit Uhud dan makam syuhada’ Uhud.

Saya gemar turun di Uhud kerana sering membeli daun pudina kering atau dipanggil ‘nakna’. Satu peket ‘nakna’ dijual SR5 sahaja dan selalunya saya membeli dua peket. Daun pudina itu direndam di dalam teh sebelum diminum. Selain baik untuk kesihatan, terutama dipercayai membantu menurunkan paras kolesterol di dalam darah, ia juga menyegarkan dan memberi aroma enak dalam minuman itu.

Ketika di Makkah pula, keadaan di Jabal Rahmah juga tidak semeriah seperti bulan bukan Ramadan. Tidak ramai jemaah yang naik ke puncak Jabal Rahmah apatah lagi ketika kunjungan baru-baru ini cuaca mencecah 50 darjah Celcius.

Malah, ada jemaah yang tidak mahu turun dari kenderaan untuk bergambar kenangan atau berjalan-jalan seketika di kaki bukit kerana mahu berehat di dalam bas atau coaster. Jika bukan bulan Ramadan, kita dapat melihat ramai peniaga di dalam van yang menjual ais krim, roti, minuman kotak dan berkaleng menjadi perhatian sebahagian besar jemaah.

Selepas berkunjung ke Jabal Rahmah di padang Arafah dan melalui kawasan ibadat haji seperti Mina dan Muzdalifah, saya dan enam lagi jemaah dibawa ke Jaaranah untuk berniat ihram. Ketika tiba di masjid Jaaranah untuk bersolat sunat tahiyatul masjid, dhuha dan sunat ihram, saya teringat pengalaman mencari jemaah yang hilang seketika di kawasan masjid itu pada Disember tahun lalu.

Masjid Jaaranah dikunjungi jemaah untuk berniat ihram.

Namun, ketika kunjungan pada Ramadan lalu, suasana sunyi sepi tidak menimbulkan kekalutan dan kerisauan kerana tidak ramai jemaah. Malah, tandas yang sering menjadi rebutan jemaah umrah juga sepi.

Justeru, setiap ziarah di dua kota suci ini menjadi lebih singkat dan mudah ketika Ramadan. Selesai melafazkan niat ihram, kami berangkat semula ke hotel penginapan. Tiba di hotel, baru jam 10.30 pagi.

Perlukah menyempurnakan umrah sejurus kembali ke hotel penginapan? 

Saya tidak bergegas menyempurnakannya dan berbincang seketika dengan kak Hasnah, jemaah sebilik yang turut berniat ihram. Kami sepakat menyelesaikannya selepas berbuka puasa.

“Lebih baik kita rehat dulu kan kak,” ujar saya di dalam bilik hotel penginapan.

“Betul. Tak perlu terkejar-kejar. Jaga pantang larang ihram…” balas kak Hasnah.

“Masa musim haji pun kita kena jaga pantang larang ihram lebih lama. Ini, umrah, insyaAllah tak lama sangat,” balas saya pula.

“Iyelah. Rehat je dulu sekarang,” ujar kak Hasnah lagi.

“Bila dah buka insha Allah, mudahlah kita nak tawaf dan saie. Lagipun sekarang panas jika hendak tawaf,” balas saya.

Lazimnya, saya tidak menunggu lama untuk menyempurnakan tawaf dan saie, apatah lagi jika tidak menguruskan jemaah umrah atau haji. Jika pada bulan bukan Ramadan, sejurus pulang dari tempat ziarah, saya terus tawaf dan selepas itu bersaie serta tahalul.

Jika saya menguruskan jemaah, lazimnya, selesai makan tengah hari bersama-sama jemaah baru saya sempurnakan tawaf, saie dan tahalul. Namun, pada Ramadan, saya perlu mengisi perut dahulu sebelum bertawaf dan bersaie.

Selepas menunaikan solat Asar di dalam bilik hotel, saya maklumkan kepada kak Hasnah saya hendak ke masjid untuk berbuka dan seterusnya menyempurnakan umrah saya. Kak Hasnah akur. Saya membawa bekalan iaitu tamar, anggur pemberian makcik Kamariah dan singgah seketika di Hotel Safwa untuk membeli sandwic keju.

Sejurus selepas iftar dan solat Maghrib berjemaah, saya terus turun ke dataran Kaabah bagi mengerjakan tawaf. Tidak terlalu ramai yang bertawaf pada masa itu dan dapat saya selesaikannya dalam tempoh setengah jam.

Saya ke Bukit Safa untuk memulakan saie. Pada pusingan keempat, azan Isyak berkumandang dan sejurus selesai pusingan itu, saya mengambil tempat untuk bersolat Isyak. Selesai solat Isyak, ibadat saie perlu diselesaikan dan Alhamdulillah, bolehlah saya menunaikan solat sunat terawih biarpun hanya 10 rakaat.

Selesai terawih saya berehat seketika sementara menunggu qiamulail pada jam 12.45 tengah malam. Keletihan saie menyebabkan saya terlena seketika di dalam masjid. Untuk berwuduk, usah dijadikan masalah kerana sebaik-baiknya bawalah botol penyembur wuduk. Isikan dengan air zamzam dan sembur pada anggota yang wajib wuduk iaitu muka, tangan hingga siku, kepala dan kaki.

Badal umrah saya seterusnya ialah untuk arwah bapa saya dan miqat ketika itu ialah masjid Aisyah atau Tana’im. Saya ke Tana’im ditemani Haji Mohd Ridzwan, suami kepada kak Naaimah yang juga ketua serta majikan saya.

Disebabkan kesesakan lalu lintas, saya tidak singgah bersolat sunat ihram di masjid dan hanya melafaskan niat di dalam teksi apabila tiba di kawasan miqat berkenaan. Sejurus pulang ke hotel, saya mengambil keperluan berbuka dan terus menuju ke Masjidil Haram untuk berbuka dan bersolat Maghrib.

Seterusnya selesai berbuka, saya menyempurnakan tawaf, saie dan tahalul. Selepas itu, saya menuju ke ruang solat di King Fahd untuk bersolat terawih dan qiamulail.

Ikuti catatan saya minggu depan, insyaAllah.



Tana'im, Masjid Aisyah, Hudaibiah, miqat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan