suria

Bersatu Tidak Jejaskan Umno - Shabery

Shabery Cheek menandatangani plak sempena lawatan di Ladang Satelit Nasional Kampung Semerbok pada Khamis. -fotoBERNAMA

REMBAU: Penubuhan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menjejaskan Umno sebaliknya dilihat akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia memberi kesan khususnya kepada undi yang bakal diraih pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Apabila Tan Sri Muhyiddin (Yassin) menyatakan mereka tidak mengharapkan ahli-ahli UMNO menyertainya, (ini) bererti dia mengharapkan ahli bukan Umno dan sudah tentu ia akan memecahkan lagi pembangkang yang sudah pun berpecah.

"Jadi bagi kita, seronoklah tengok bila Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir (Mohamad) membantu untuk memecahkan lagi pembangkang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ladang Satelit Nasional Kampung Semerbok di Kota dekat sini Khamis.

Beliau diminta mengulas permohonan Muhyiddin untuk mendaftarkan parti baharu itu di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Selasa lepas, dan akan melantik Dr Mahathir sebagai Pengerusi parti berkenaan, selain Muhyiddin bakal menjadi presiden parti.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, bagaimanapun berkata penubuhan parti baharu itu disifatkan dapat 'memeriahkan' lagi pertandingan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan konflik kepimpinan akan berlaku baik dalam kalangan pembangkang mahupun parti baharu diterajui Muhyiddin itu dalam menentukan siapakah yang akan dipilih mengepalai kerajaan seandainya mereka menang pada pilihan raya.

Katanya, beliau tidak fikir Muhyiddin dan Dr Mahathir akan memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, manakala PKR juga tidak mungkin berubah fikiran menerima kedua-duanya sebagai pemimpin mereka.- BERNAMA


Ahmad Shabery Cheek, Umno, Bersatu

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan