suria

Ekonomi Malaysia Catat Pertumbuhan 4.0 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: Seiring dengan pertumbuhan sederhana ekonomi dunia, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus pada suku kedua 2016, menjadikan pertumbuhan 4.1 peratus pada separuh pertama 2016.

Dalam satu kenyataan, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata permintaan dalam negeri lebih kukuh semasa suku dalam kajian tetapi pertumbuhan telah menerima kesan daripada eksport bersih yang terus merosot dan pengeluaran stok yang tinggi.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 4.2 peratus pada suku pertama dan 4.9 peratus pada suku kedua2 2015.

Sementara itu, aktiviti sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan kadar pengembangan lebih cepat sebanyak 6.1 peratus pada suku kedua pada 4.5 peratus pada suku pertama, katanya.

Menurut BNM, penggunaan swasta meningkat 6.3 peratus berbanding 5.3 peratus pada suku pertama, disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan serta pendapatan boleh guna tambahan hasil daripada pelaksanaan langkah-langkah Kerajaan.

Pelaburan swasta berkembang dengan lebih pantas pada kadar 5.6 peratus berbanding 2.2 peratus pada suku pertama, didorong terutamanya oleh perbelanjaan modal yang berterusan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Mengenai pelaburan awam, bank pusat berkata pertumbuhan kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan positif 7.5 peratus berbanding -4.5 peratus pada suku pertama, disebabkan terutamanya oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk harta tetap oleh Kerajaan Persekutuan dan perbadanan awam. 

Pertumbuhan penggunaan awam juga bertambah baik pada suku kedua kepada 6.5 peratus daripada 3.8 peratus pada suku pertama, disebabkan terutamanya oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan.

Dari segi penawaran, BNM berkata semua sektor ekonomi terus berkembang, kecuali sektor pertanian. 

Pertumbuhan sektor perkhidmatan yang lebih tinggi, naik 5.7 peratus daripada  5.1 peratus pada suku pertama, disokong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh.

Sektor perkilangan pula, menurut BNM, disumbangkan oleh kelompok elektronik dan elektrik, berkembang 4.1 peratus pada suku kedua berbanding 4.5 peratus pada suku pertama.

Ia berkata pertumbuhan sektor pembinaan yang lebih kukuh, didorong terutamanya oleh subsektor kejuruteraan awam.

Sementara itu, prestasi sektor perlombongan bertambah baik dengan naik 2.6 peratus berbanding 0.3 peratus pada suku pertama, disebabkan terutamanya oleh pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih tinggi pada suku tersebut. 

Bagaimanapun, pertumbuhan sektor pertanian merosot 7.9 peratus berbanding penguncupan 3.8 peratus pada suku pertama, akibat kesan tertangguh El Nio ke atas pengeluaran minyak sawit mentah. -- Bernama

Malaysia, Bank Negara Malaysia, KDNK

Artikel Berikut

Artikel Lain