PETALING JAYA: Penulis skrip bebas Petrina Thong memberanikan diri mengembara secara 'hitchhike' (menumpang kenderaan lain) dari Stockholm, Sweden ke Malaysia, merentasi 22 negara dalam tempoh 13 bulan, dengan hanya berbekalkan AS$200 (RM800) sebagai wang saku. Pada mulanya, dia mengaku malu untuk menumpang orang lain yang tidak dikenalinya. Thong, 29, yang berasal dari Petaling Jaya, terbang ke Stockholm pada Jun tahun lalu dengan niat semata-mata untuk melihat sejauh mana dia mampu mengembara dengan cara 'hitchhike'. Apa yang dilakukan Thong ini telah diterbitkan dalam akhbar Daily Mail Britain, Khamis, di mana dia telah menceritakan pengembaraannya yang serba mencabar. Salah satu perkara yang paling menjengkelkan dalam pengembaraannya adalah permintaan seks daripada mereka yang menumpangkannya, terutama di Eropah Timur. "Separuh daripada pemandu kereta yang saya tumpang meminta khidmat seks. Tetapi mereka tidak pernah cuba menyentuh atau melakukan sebarang tindakan fizikal. "Pada mulanya, ia agak menakutkan tetapi tidak lama selepas itu saya sedar ia hanyalah permintaan yang menjengkelkan. Selepas beberapa ketika, saya beritahu mereka supaya berhenti bertanya tentang seks," katanya. Jika mereka tetap berdegil, dia akan menyuruh orang yang menumpangkannya berhenti atau dia akan melompat keluar dari kenderaan. Apabila kehabisan wang selepas tiga bulan perjalanan, dia terpaksa mencari makanan dalam tong sampah. Walau berdepan kesukaran, dia turut berdepan pengalaman menakjubkan apabila bertemu dengan ramai kenalan yang baik dan sudi menghulurkan bantuan yang tidak disangka-sangka. Thong berkata jika diberi peluang, dia akan melakukan pengembaraan ini sekali lagi kerana dia tahu manusia yang baik tetap wujud walaupun di bumi asing.