suria

Kad Pemandu Untuk Kawal Selia Uber, GrabCar

Datuk Seri Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR: Pemandu teksi, Uber dan GrabCar akan beroperasi di bawah persekitaran yang sama tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tiong Lai berkata, peraturan tambahan akan dikenakan ke atas pemandu Uber dan GrabCar, manakala teksi-teksi akan menjalani penyahkawalseliaan bagi membolehkan mereka bersaing dengan perkhidmatan perkongsian perjalanan yang baharu itu.

"Pemandu Uber dan GrabCar perlu mempunyai kad pemandu yang didaftarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan, iaitu untuk mengawal selia semua pemandu pengangkutan awam," katanya di Wisma MCA pada Sabtu.


Tiong Lai berkata pemandu Uber dan GrabCar perlu memohon kad tersebut daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Saya serahkan kepada SPAD untuk mengumumkan mengenai butiran dan proses permohonan," katanya.

Awal minggu ini, kabinet memutuskan bahawa Uber dan GrabCar akan menjadi satu operasi yang sah dari segi undang-undang di Malaysia.

Satu sumber daripada kementerian juga mendedahkan bahawa pemandu Uber dan GrabCar perlu menghantar kenderaan mereka ke Puspakom untuk mengesahkan sama ada kenderaan mereka layak berada di atas jalan raya.

Artikel Berikut

Artikel Lain