suria

Reaksi Bapa Schooling Menonton Anaknya Menang Emas Olimpik

SINGAPURA: Matanya yang tertumpu di kaca TV hampir tidak berkelip selama 50.39 saat.


Beliau menutup mulutnya dengan tangan! Tidak ada sepatah pun perkataan keluar dari mulutnya walaupun orang di sekelilingnya sedang melonjak kegembiraan.

Beliau kaku di tempat duduknya seketika tetapi akhirnya tersenyum lebar sambil menangis kegembiraan.

Anak lelakinya, Joseph Isaac Schooling baru sahaja mencipta sejarah dengan meraih pingat emas Olimpik pertama untuk Singapura dan mencatatkan rekod Olimpik 50.39 saat untuk acara 100 meter kuak kupu-kupu.

Colin Schooling, yang menonton perlumbaan itu di rumah rakan anaknya dan rakan perenang kebangsaan Teo Zheng Ren, berkata: "Terima kasih semua."

Colin, 68, dan isterinya, May, 61 itu tidak pergi ke Rio kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.

Perkataan pertama yang diucapkan kepada anaknya: "Saya sayangkan kamu, kamu telah membuatkan negara amat berbangga."

Sebelum perlumbaan, Cooling telah memberikan kata-kata perangsang kepada anaknya: "Saya mahu kamu mengejutkan dunia."

May pula telah memberitahu The Straits Times: "Jika semua berjalan lancar, Singapura akan menyambut kegembiraan bersama kami."

Sementara itu Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut mengucapkan tahniah kepada perenang yang telah mengharumkan nama republik itu.

"Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Joseph Isaac Schooling di atas kejayaannya meraih pingat emas bersejarah, dan mencatatkan rekod Olimpik 50.39 saat untuk acara 100meter gaya ramai-rama! Ini adalah pingat emas Olimpik yang pertama bagi Singapura, dan pingat pertama kami di #Rio2016.


"Ia adalah satu pencapaian yang luar biasa, untuk bersaing dalam kalangan yang terbaik di dunia, kekal fokus, dan muncul juara. Tahniah sekali lagi kepada Joseph, anda membuat kami berasa amat bangga hari ini," katanya dalam entri terbaharu beliau dalam Facebook.

Schooling menewaskan perenang idolanya dari Amerika Syarikat, Michael Phelps, yang mencatat 51.14s bersama-sama dengan perenang Afrika Selatan, Chad le Clos dan Laszlo Cseh dari Hungary.


Perenang muda Singapura itu turut memecahkan rekod 50.58s yang dicipta Phelps pada Olimpik Beijing 2008.

Phelps telah memenangi empat pingat emas di Olimpik Rio, yang merupakan sebahagian daripada 22 pingat emas yang diraihnya termasuk daripada acara 100m gaya kupu-kupu pada tiga temasya sama sebelum ini.

Artikel Lain