JELEBU: Umno bukanlah parti yang dilahirkandaripada perasaan benci, kekecewaan atau atas dasar menolak pemimpin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata sebaliknya, Umno adalah parti suci yang dilahirkan di tanggaistana besar di Johor dengan gema semangat nasionalisme untuk menolak penjajah dan bangkit daripada roh orang Melayu yang mahu membela martabat dan maruah. "Umno tidak lahir di atas kebencian, Umno tidak lahir di atas kekecewaan,Umno tidak lahir kerana mahu menolak pemimpin lain. Kalau itulah jadi asas perjuangan kita, maka, apa-apa yang kita lakukan bukanlah bertunjangkan idealisme dalam perjuangan yang berpaksikan kepada sesuatu yang mulia dan suci. "Tidak ada satu wadah perjuangan yang jelas, hanya sekadar marah, benci dan cita-cita peribadi yang tidak kesampaian maka perjuangan itu tidak bertahan lama," katanya semasa berucap merasmikn Mesyuarat Perwakilan Umno BahagianJelebu dan Jamuan Rakyat Sehati Sejiwa di Stadium Mini Kuala Klawang di sini,Sabtu. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua UMNO Jelebu Datuk Jalaluddin Alias dan Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim. Najib yang juga Presiden Umno berkata sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana parti politik yang dibangunkan atas sifat-sifat sedemikian, tidak dapat bertahan lama. "Umno boleh menjadi teras kepada kepimpinan negara kita kerana kita berdiri atas perjuangan idealisme yang teruji, bertahan sejak sekian lama dan terbukti membawa negara kita kepada kejayaan. Dalam apa jua era dan krisis, kita telah berjaya melalui krisis itu. "Sama ada kita melawan komunis, berdepan zaman kemelesetan ekonomi, Umno boleh bertahan kerana kita mempunyai wadah perjuangan yang lahir ditengah-tengah semangat untuk membela martabat dan maruah kita dan hari ini dunia melihat Malaysia berjaya,"kata beliau. Mengulas lanjut, Najib berkata rakyat juga tidak seharusnya menjadikan media sosial sebagai hiburan atau menjadikan satu dua akhbar antarabangsa sebagai panduan. "Rakyat Malaysia tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar, kita lebihsayang kedaulatan negara kita,"katanya. Dalam pada itu, Najib berkata tindakan pihak tertentu yang mengemukakan referendum dan deklarasi rakyat terhadapnya adalah suatu yang tidak memberi manfaat kepada rakyat. "Rakyat tak boleh hidup atas politik macam ini...rakyat boleh terus hidup bila kita bagi bantuan kepada rakyat susah seperti BR1M (Bantuan Rakyat1 Malaysia), bantuan persekolahan, bagi projek kecil, bagi duit raya, bagi bonus dan macam-macam lagi. "Inilah yang akan membela kesejahteraan dan kebajikan rakyat, bukankerja-kerja yang tak berfaedah ini,"katanya. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Malaysia turut dijadikan negara contoh bagi negara lain dalam aspek keselamatan dan keamanan. Beliau berkata proses damai di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di selatan Filipina menyaksikan Malaysia dipilih sebagai orang tengah bagi menjayakan agenda penting itu. "Pagi tadi saya dapat mesej, kedamaian di selatan Filipina akan diteruskan...menakjubkan (ialah) proses kedamaian bangsa Moro di Selatan Filipina mesyuaratnya dibuat di Kuala Lumpur, maknanya kita dianggap sebagai 'big brother'. "Mereka tidak akan lakukan perkara ini kalau negara kita huru hara, tak ada peranan di rantau ini...tetapi kerajaan Filipina dan MILF hormat kita. Itulah negara Malaysia pimpinan Umno dan BN (Barisan Nasional),"katanya. Najib juga meluahkan rasa terharunya di atas sokongan padu yang diberikan Umno Bahagian Jelebu serta rakyat di sini terhadap kepimpinannya sebagai presiden dan perdana menteri. "Meremang bulu roma saya...menyokong saya dalam apa jua keadaan. Saya nak mandat daripada rakyat untuk saya jalankan tugas saya. "Janganlah ganggu saya, saya bertanggungjawab terhadap 30 juta rakyat. Biar halilintar membelah bumi, saya tidak akan berundur walau seinci...tidak berundur, tidak menyerah. "Kita berada di landasan yang betul dan benar. Kalau ada yang tidak betul, kita betulkan bersama tapi jangan sampai meruntuhkan institusi politik kita," kata beliau. Perdana menteri menegaskan 'rumah' yang dibina di atas keringat pejuang terdahulu wajarlah dipertahankan demi kelangsungan generasi akan datang. "Jangan rosakkan rumah kita. Kalau nak ubah sikit, kerusi, meja yang sumbingbolehlah kita baiki, tetapi jangan pula kita bakar rumah kita...itu sahaja rumah kita. "Rumah inilah yang kita telah bina atas keringat dan jerih payah kita. Darah pemimpin dulu yang berkorban jiwa raga untuk membina rumah ini untuk kita dan cucu kita. Rumah ini mesti kita pertahankan kalau tidak apa yang kita nak wariskankepada anak kita," katanya. Najib berkata selagi beliau diberi mandat daripada parti dan rakyat, beliau berjanji akan melakukan yang terbaik. Pada program itu, ia dihadiri seramai 15,000 termasuk anggota parti komponen, exco kerajaan negeri, ketua-ketua Umno bahagian dan rakyat. -Bernama