KUALA LUMPUR: Beberapa peserta veteran teruja menyertai acara jalan kaki #AnakAnakMalaysia 2016 dengan ada diantara mereka membuat dua pusingan. Kerani, G. Suresh Kumar, 44, antara peserta pertama yang menamatkan acara jalan kaki itu kurang 20 minit. Suresh yang juga ahli veteran Persatuan Jalan Kaki Malaysia berkata beliau sudah biasa dengan laluan yang lebih jauh dan maraton. Justeru, beliau melakukan sekurang-kurangnya satu lagi pusingan. "Saya sering berjalan kaki sejauh 60km seminggu. Kesihatan amat penting bagi saya dan saya dapati acara ini bagus untuk membantu kita kekal sihat," katanya. Bekas kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jasmail Singh, 78, berkata acara ini ibarat sesi pemanas badan bagi pelari jarak jauh seperti dirinya. Jasmail Singh. "Saya melakukan satu pusingan sebelum acara bermula tetapi orang ramai amat peramah dan saya memutuskan untuk mengikut mereka satu pusingan lagi," katanya. Jasmail berkata beliau bergiat aktif dalam acara jalan kaki dan maraton sejak lebih 30 tahun dan merupakan peserta tertua. Sementara itu, bekas Ratu Cantik Dunia Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan berjaya menamatkan acara itu dalam masa 40 minit. "Saya rasakan jarak laluan harus dipanjangkan sedikit kerana ia memberi kami peluang untuk bergaul dengan rakyat Malaysia yang lain. "Saya amat menyokong usahan ini kerana ia menggalakkan semangat toleransi, perpaduan dan keamanan," katanya. Thanuja turut memberi penghargaan kepada anggota polis dan Rela yang berada di lokasi bagi memastikan keselamatan acara ini.