suria

Pemandu Teksi Disaran Sambut Baik Pembatalan Kawal Selia Syarat

Liow Tiong Lai

TELUK INTAN: Pengusaha teksi disaran agar menyambut baik saranan pembatalan kawal selia syarat untuk pemandu teksi oleh Kementerian Pengangkutan bagi memastikan mereka dapat bersaing dengan teksi Uber dan GrabCar.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penyahkawal seliaan peraturan yang akan dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) itu sudah pastinya akan membolehkan mereka bersaing dengan perkhidmatan berteknologi baharu itu.

Jelasnya sudah tentulah pengusaha teksi akan mendapat faedah dengan cadangan tersebut berikutan peraturan tambahan akan dikenakan kepada pemandu Uber dan GrabCar yang pasti akan menyelaraskan platfom yang sama bagi perkhidmatan teksi.

"Sudah sampai masanya pemandu teksi menjadi lebih berdaya saing dan fleksibel selepas kabinet meluluskan operasi GrabCar Dan Uber secara sah di negara ini.

"Mereka (pengusaha teksi) tidak boleh memberhentikan operasi hanya kerana mereka perlu bersaing dengan Uber dan GrabCar. Ini kerana teknologi dan aplikasi sentiasa berkembang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pintu Gerbang Tokong Sheng Fong Kong pada Ahad bersama Menteri Perusahaan Peladangan Dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Liow berkata SPAD akan memaklumkan mengenai peraturan penyelarasan perkhidmatan pemandu teksi dan GrabCar dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai langkah Kementerian Kewangan (MoF) untuk mengkaji mekanisme percukaian terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar, beliau menjelaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan bagi tujuan itu.

"Terpulang kepada MoF kerana itu merupakan portfolio mereka dalam memastikan apabila ada keuntungan dan hasil syarikat yang menjalankan perniagaan, mereka perlu membayar cukai.

"Kita akan kaji sistem cukai sedia ada untuk melihat sama ada perlu atau tidak pengendali Uber dan GrabCar membayar cukai kepada kerajaan," katanya.

Terdapat kira-kira 77,000 pemandu teksi berdaftar di negara setakat ini. --Bernama

Artikel Lain