suria

Banduan Lari Dari Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Serah Diri

Gambar hiasan.

KOTA BARU: Selepas seminggu melarikan diri, seorang banduan dari Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, di sini, akhirnya menyerah diri di kampungnya, Kampung Jakar, Bukit Bunga, Tanah Merah pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Baharom Abu berkata, lelaki berusia 37 tahun itu menyerah diri kepada penghulu kampungnya itu pada 7.24 malam Ahad.

"Sebaik menyerah diri, lelaki itu dihantar ke Balai Polis Bukit Bunga sebelum dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Baharom berkata, lelaki berkenaan ditahan reman empat hari mulai Isnin bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian 8 Ogos lepas, lelaki berkenaan dipercayai bertindak meloloskan diri pada kira-kira 12.30 tengah hari menerusi pagar belakang pusat tahanan berkenaan ketika menjemur pakaian. - Bernama

Artikel Lain