suria

Peraturan Terhadap Pembantu Rumah Bukan Islam Adalah Diskriminasi - MCA

PETALING JAYA: MCA menyifatkan arahan Jabatan Imigresen yang menghalang umat Islam daripada mengambil pembantu rumah bukan Islam sebagai diskriminasi dan boleh merosakkan integrasi dan perpaduan negara.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker mengingatkan jabatan itu bahawa kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan mesti dipertimbangkan dengan teliti dan tidak boleh dibuat 'sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkuasa'.

Beliau berkata peraturan yang menyebabkan kos tambahan, kesusahan dan kesulitan kepada orang ramai perlu dielakkan, terutamanya jika ia dibuat atas dasar bangsa dan agama.

"Perlu ada konsistensi dan niat yang jelas serta bertujuan untuk kebaikan negara dan kebajikan semua," kata Lian Ker.

Beliau berkata rakyat Malaysia sudah 'terlalu dibahagikan' mengikut kaum, bangsa dan agama, dan memberi amaran bahawa tindakan seperti itu boleh berakhir dengan bahaya dan kerosakan terhadap integrasi dan perpaduan negara.

Pada Ahad, Presiden Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia  (Mama) Engku Ahmad Fauzi berkata dasar itu akan mengehadkan pembekalan pembantu rumah untuk orang Islam.

"Agama tidak sepatutnya menjadi halangan. Apabila anda bekerja di pejabat, ia tidak berdasarkan agama begitu juga perkara ini, pembantu rumah di rumah tidak patut menjadi isu," katanya.

Artikel Lain