suria

Reman Lelaki Penggal Warga Emas Disambung Empat Hari

- Gambar hiasan
JOHOR BAHARU: Reman terhadap seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang warga emas di Felda Pengeli Timur, dekat Kota Tinggi, disambung selama empat hari lagi bermula esok hingga Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata lelaki berumur 19 tahun itu sebelum ini dibenarkan direman selama tujuh hari mulai 10 Ogos lepas oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Hairul Azhar Mohamad dan tempoh reman berkenaan tamat pada Selasa.

Beliau berkata perintah sambung reman yang dibenarkan selama empat hari lagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 9 Ogos lepas, warga emas, Maimon Abdul Samad, 76, dipercayai dibunuh dengan kepalanya dipenggal menggunakan sebilah pisau berukuran antara enam hingga tujuh inci panjang, sebelum kepala itu diletak di hadapan pintu rumah.

Tubuh mangsa pula berada di bawah sinki di ruang dapur dengan kedua-dua kakinya dipotong di bahagian paha tetapi tidak putus.

Kedua-dua tangan mangsa juga dipotong dengan hanya sebelah kiri masih berada di sisi tubuh mangsa.

Pakar patalogi Hospital Sultan Ismail, di sini, yang melakukan bedah siasat kemudian mengesahkan Maimon meninggal dunia akibat ditikam di perut sebelum kepalanya dipenggal.

Suspek bertindak demikian kerana dipercayai mengalami gangguan mental dan dikatakan tidak memakan ubat sejak beberapa bulan lalu.

Suspek melarikan diri ke kawasan ladang sawit berhampiran Felda Pengeli Timur sejurus kejadian sebelum kemudiannya berjaya ditahan kira-kira 8.20 malam, hari yang sama.

Artikel Lain