suria

Gunakan Sains, Teknologi Untuk Keamanan, Atasi Kemiskinan - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah
KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah kemiskinan dan ketidaksamaan yang menimbulkan konflik serta keganasan boleh diatasi melalui penyelesaian yang diambil daripada sains dan teknologi.

Menurut baginda, teknologi sedia ada dan muncul boleh menangani, malah mengubah degradasi alam sekitar, mengurangkan atau menghapuskan pendedahan kepada penyakit serta menyumbang kepada meningkatkan tahap pembangunan insan yang meliputi pelbagai komponen.

Baginda bertitah, sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria contohnya, boleh mengubah kehidupan penduduk bandar dan luar bandar sekiranya ia digunakan dengan berkesan, manakala aplikasi inovasi telefon mudah alih pula, khususnya mekanisme pembayaran, mempunyai impak positif yang amat banyak.

"Melaluinya dan pelbagai cara lain, penggunaan sains dan teknologi boleh membantu memupuk keamanan dan kestabilan," titah Sultan Nazrin ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Sains Untuk Keamanan di sini, Isnin.

Persidangan anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau, timbalan beliau, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan presiden ASM Tan Sr Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin menyentuh tentang kemajuan sains dan teknologi serta hubungannya dalam memburu kuasa politik dan ketenteraan dan jelas baginda, kemajuan sains banyak dipacu oleh dua perang dunia serta era Perang Dingin.

Baginda bertitah, kemajuan sains dan teknologi akan terbukti tidak mempunyai nilai atau malah tidak produktif sekiranya ia tidak disalurkan secara berkesan oleh manusia yang menciptanya.

Titah baginda, sama seperti kuasa nuklear yang wujud pada zaman Einstein, teknologi digital dan teknologi termaju hari ini mempunyai potensi untuk mendatangkan hasil yang baik dan sebaliknya.

"Seperti yang diperingatkan Presiden (Amerika Syarikat) Barack Obama dalam ucapan beliau di Hiroshima baru-baru ini, kita perlu mengurus tadbir dan mengawal selia teknologi ini dengan lebih berkesan bagi memastikan ia digunakan bagi tujuan positif dan bukan untuk membawa kemusnahan seperti masa lampau," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, dalam memperjuangkan keamanan, urusan tidak boleh seperti biasa.

"Jika kita ingin memastikan kemajuan luar biasa, sains dan teknologi yang ada sekarang digunakan untuk memupuk keamanan dan pembangunan, kita perlu merentasi sempadan konvensional dan mengguna pakai pendekatan lebih bersifat kolaboratif serta berorientasikan nilai terhadap tadbir urus global dan cabarannya," titah baginda.

Ini, titah Sultan Nazrin, memerlukan pemikiran bersifat transformatif, perancangan bersepadu dan tindakan bersinergi.

"Ia memerlukan kepimpinan yang boleh diteladani, tegas dan menuntut keseluruhan spektrum pemegang taruh berganding bahu ke arah mencapai matlamat itu," titah baginda.

Bertemakan, 'More for Peace, Less for War' (Lebihkan Usaha Untuk Keamanan, Kurangkan Tindakan Untuk Berperang), persidangan dua hari yang berakhir esok itu menyediakan platform untuk para pemegang taruh untuk berbincang tentang peranan sains, teknologi dan inovasi dalam memupuk keamanan global.

Artikel Lain