PUTRAJAYA: Siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kad SIM dan telefon bimbit yang digunakan dalam kejadian letupan bom di Phuket, Thailand, belum menemukan sebarang bukti kukuh menunjukkan kad itu berasal dari Malaysia. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata setiap kad SIM yang dikeluarkan syarikat telekomunikasi di Malaysia mempunyai ciri-ciri keselamatan tertentu namun kad SIM berkenaan tidak memiliki ciri tersebut. "Kita sudah buat pemeriksaan terhadap kad SIM itu dan juga telefon itu tetapi setakat ini ia tidak ada cukup bukti yang kad SIM itu dari Malaysia," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru Kebangsaan (ICBOS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Bagaimanapun, Khalid berkata siasatan PDRM belum selesai sepenuhnya. Media melaporkan bahawa Thailand meminta Malaysia untuk membantu menyiasat sebuah telefon bimbit yang digunakan dalam kejadian letupan bom di Phuket pada Jumaat lepas yang didakwa berasal dari Malaysia. Laporan Bernama yang memetik sumber itu berkata serpihan telefon bimbit bersama-sama nombor sirinya telahpun diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.