suria

Kerjasama Lebih 80 Kementerian, Agensi Kerajaan Jayakan Hari Terbuka NBOS

Salah seorang pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mewarna batik yang dilukis khas oleh para pelajar kelainan upaya dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam sempena Persidangan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Rabu. Setiap kain yang dilukis sendiri oleh pelajar mengikut corak kegemaran mereka yang dijual pada harga RM5.

PUTRAJAYA: Lebih 80 kementerian dan agensi kerajaan bekerjasama bagi menjayakan Hari Terbuka Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melalui sesi penerangan dan aktiviti santai di ruang legar Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Penolong Pengarah Unit Strategi Nasional (NSU) Kementerian Kewangan, Muhammad Naim Che Omar berkata, antara kementerian dan agensi yang terlibat ialah Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Majlis Belia Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Inisiatif ini merupakan pendekatan strategik apabila peluang yang terbuka luas sepanjang minggu ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan memperkenalkan dan mengetengahkan program-program kerajaan di bawah NBOS kepada hadirin. 

"Ramai lagi yang tidak tahu mengenai program dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, jadi ini merupakan platform terbaik bagi menyebarkan maklumat kepada orang awam," katanya kepada Bernama pada Hari Terbuka NBOS Rabu.

Hari Terbuka NBOS itu diadakan sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016.

"Kami mensasarkan semua pengunjung termasuk delegasi luar negara untuk menyaksikan program-program yang disediakan, contohnya taklimat oleh pihak JKM, persembahan gambus dan rebana oleh artis Istana Budaya, tarian zapin dan sebagainya.

Setiap sesi itu akan berlangsung antara 30 minit hingga satu jam, dan program ini berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang sehingga 20 0gos," kata Muhammad Naim.

Menurutnya, program tujuh hari itu dari 14 hingga 20 Ogos mempunyai daya tarikannya yang tersendiri kerana di samping menyampaikan agenda nasional kepada orang awam, keunikan diversiti di negara ini turut terserlah melaluinya.

"Sesi penerangan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) pagi tadi diakhiri dengan tarian poco-poco dan lebih menarik lagi ia turut disertai beberapa delegasi luar negara," katanya.-- Bernama


NBOS, Muhammad Naim Che Omar, JKM

Artikel Lain