PUTRAJAYA: Syarikat minyak negara, Petronas, berjaya menjimatkan RM3.4 bilion sejak memulakan langkah pengurangan kos pada 2015, dan usaha ini akan diteruskan walaupun harga minyak pulih. "Menerusi program Pakatan Pengurangan Kos, kami berjaya mengurangkan RM3.4 bilion dari segi kos sejak memulakannya sehingga pertengahan tahun ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin. Beliau berkata demikian pada sesi pleno Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru bertema 'menawarkan nilai tinggi pada kos yang rendah' di sini Rabu. Pakatan pengurangan kos CORAL 2.0, merupakan program lima tahun secara menyeluruh dalam industri itu dari 2015 hingga 2019, dipacu oleh Petronas dengan sasaran untuk menyemai minda peka ke atas kos dalam keseluruhan industri huluan di Malaysia. Wan Zulkifli berkata transformasi bermula apabila syarikat minyak dan gas termasuk Petronas, terjejas akibat kejatuhan harga sejak 2014. "Pada 2014, minyak berharga lebih US$100 setong, manakala semasa rehat tengah hari ini, harganya hanya US$48. Syarikat minyak perlu melaksanakan tindakan strategik, bimbang terhadap aliran tunai, memotong bajet dan mengoptimumkan tenaga kerja, sama juga dengan Petronas," katanya. Beliau berkata Petronas mengurangkan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi sebanyak RM15 bilion tahun ini dan kira-kira RM50 bilion dalam tempoh empat tahun lepas. Satu-satunya syarikat Fortune 500 dari Malaysia, Petronas juga memberi tumpuan ke atas penjanaan tunai, memudahkan proses, penyampaian projek selain pengurusan bakat. Namun katanya langkah seperti itu serta pengurangan kos semata-mata tidak berdaya maju, Petronas perlu mengubah budaya kerja pekerjanya secara menyeluruh. "Saya percaya apabila organisasi menjadi semakin besar, kami menjadi lebih birokratik, dan banyak unit menjadi lebih terasing. Oleh itu kami mahu mengubah kepercayaan staf kami bahawa Petronas adalah birokratik dan bekerja secara berasingan," katanya. Untuk merealisasikan hasrat itu, Petonas perlu memperbetulkan tugasan harian 50,000 pekerjanya.