KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal yang melawan arus aliran trafik maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah van di Km 0.3, Lebuhraya Duke di sini awal pagi Khamis. Kejadian berlaku kira-kira 7.30 pagi ketika Shammudin Jamaludin, 44, menunggang melawan arus sebelum bertembung dengan van yang dipandu seorang lelaki berumur 49 tahun. Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Shafie Daud berkata, akibat pertembungan itu, penunggang tersebut tercampak ke cermin van dan maut serta merta akibat kecederaan parah di kepala. Pemandu van tersebut hanya cedera ringan di kaki. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. - Bernama