suria

Saya Tidak Akan Kritik Pengganti Secara Terbuka - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bercerita mengenai pelbagai pengalaman beliau pada Program 60 minit bersama Perdana Menteri sempena majlis pelancaran Kembara Mahasiswa Nasional di Dewan Bankuet Seri Perdana pada Khamis. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak akan mengganggu cara kepimpinan penggantinya dengan cara mengeluarkan pelbagai kritikan terbuka apabila beliau bersara kelak.

"Saya punya falsafah, saya akan bersara dan tidak akan mengganggu pengganti saya bila sudah habis (menjadi Perdana Menteri) nanti. 

"Pengganti saya akan lakukan perkara yang lebih baik daripada keadaan ketika saya memegang negara. Itu adalah kesinambungan dalam perjuangan.

"Kenapa saya hendak ganggu pengganti saya? Tapi kalau pengganti saya hendak belanja makan malam atau minum kopi tidak ada masalah. Tapi, saya tidak akan tegur dia secara terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditanya sama ada beliau selesa dibandingkan dengan pemimpin terdahulu, pada sesi soal jawab program 60 Minit Bersama Perdana Menteri yang disertai 350 mahasiswa dan mahasiswi dari universiti dalam dan luar negara dan wakil persatuan belia di Seri Perdana di sini, Khamis.

Najib berkata, setiap perdana menteri akan membawa negara ke satu tahap tertentu dan perdana menteri yang seterusnya akan membawa ke tahap lebih baik selepas itu.  

Oleh itu, adalah tidak adil jika pemimpin sebelum ini mengkritik kepimpipinan hari ini, katanya sambil memberitahu bahawa bekas presiden Amerika Syarikat George W.Bush tidak pernah mengkritik Presiden Barack Obama. 

"Itu bukanlah perkara yang harus dilakukan sebagai bekas pemimpin. Kalau dok kritik, tak adillah. Bush tidak mengkritik Obama," katanya. 

Menurutnya, pemimpin China juga terus 'menghilangkan diri' selepas bersara dan ia merupakan cara yang baik untuk memastikan pentadbiran negara berjalan lancar tanpa diganggu bekas pemimpin.

Najib berkata, beliau berhasrat melakukan pelbagai perkara yang tidak dapat dilakukannya ketika menjadi pemimpin termasuklah bermain bola sepak, menulis buku dan melawat negara-negara yang belum dilawati, selepas bersara kelak. - Bernama

Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan