KUCHING: Salah seorang daripada tiga suspek yang dikehendaki berhubung kes bunuh ahli politik PKR Sarawak, Bill Kayong menyerah diri di balai polis Miri pada Khamis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar berkata, lelaki berusia 50 tahun yang berasal dari Krokop di Miri itu tampil menyerah diri pada pukul 4.50 petang, dan ditemani peguamnya. "Dia akan dihadapkan ke mahkamah majistret Miri esok untuk reman," kata Dev Kumar dalam satu kenyataan. Beliau berkata, usaha untuk menjejaki dua lagi suspek sedang dilakukan. "Mereka dinasihatkan untuk menyerah diri secepat mungkin," tambahnya. Kayong, 43, maut ditembak semasa menunggu di dalam keretanya di persimpangan lampu isyarat dekat E-Mart di Tudan, Miri pada kira-kira pukul 8.15 pagi pada 21 Jun.