KUALA KANGSAR: Seramai 56 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan yang disediakan pengendali makanan di dewan makan kolej tersebut pada Rabu lalu. Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Juita Ghazali, berkata, semua pelajar itu mengalami simptom seperti muntah, loya, demam, pening dan sakit perut yang kemudiannya disahkan sebagai keracunan makanan oleh Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Daerah (PKD). Tiga daripada pelajar berkenaan dirujuk ke Hospital Kuala Kangsar oleh PKD pada Jumaat manakala pelajar lain pula dirawat sebagai pesakit luar. Dr Juita berkata siasatan awal mendapati van yang digunakan untuk mengangkut makanan dari dapur ke dewan makan kotor. Malah, katanya, ulat sampah turut ditemui pada van tersebut. Susulan itu, beliau berkata dapur asrama itu ditutup mengikut Akta CDC 1988 buat masa ini.