suria

Bekas Tentera Mulakan Larian Merdeka

ALOR SETAR: Bagi menyemarakkan semangat patriotisme terutama dalam kalangan belia bersempena Hari Kebangsaan ke-59, bekas anggota tentera, Nasir Abas, pada Ahad memulakan Larian Merdeka sejauh 500 kilometer dari  Alor Setar ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Majlis pelepasan dari Masjid Zahir di sini pada 7.30 pagi itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Mutalib Harun.

Turut hadir anggota keluarga dan rakannya untuk memberikan sokongan moral dan semangat.

Nasir, 61, dari Taman Sri Putra, Kuala Kedah berkata beliau berharap usahanya itu dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan golongan belia yang dilihatnya semakin melupai erti sebenar kemerdekaan.

"Saya berharap mereka (golongan belia) dapat melihat usaha yang diperjuangkan saya walaupun sudah bergelar warga emas," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, beliau menyasarkan tempoh 10 hari untuk menamatkan larian itu yang turut diiringi dua buah kereta.

Beliau yang merupakan imam Masjid Putra, Kuala Kedah berkata walaupun telah bersara dari tentera pada 1998 selepas berkhidmat selama 21 tahun, semangat sayang dan cintakan negara masih kuat dan ia menjadi salah satu pendorong untuknya memulakan Larian Merdeka itu.

Nasir pernah mencatat nama dalam The Malaysia Book Of Records selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2002 kerana berjaya berlari sejauh 1,754 kilometer selama 30 hari di seluruh Semenanjung bermula dari Kelantan hingga Perlis dan pada 2003 atas kejayaannya berlari sejauh 2,068 kilometer dari Tawau hingga Kuching selama 53 hari.

Pada Ogos tahun lalu beliau turut berlari lebih 500 kilometer dari Stadium Shah Alam hingga Stadium Darul Aman sebagai tanda sokongan kepada skuad Helang Merah untuk perlawanan akhir Piala Malaysia. - BERNAMA

Nasir Abas, Larian Merdeka

Artikel Lain