suria

Jangan Pertahan Pemimpin Salah - Johari

Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Johari Abdul Ghani berikrar untuk tidak mempertahankan mana-mana pemimpin Umno yang didapati bersalah atas perbuatan salah laku.

Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua dan Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian ketika menjelaskan kontroversi melanda syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan, 1MDB pada majlis perasmian mesyuarat Umno Bahagian Cheras di sini Ahad.

"Prinsip saya adalah untuk tidak mempertahankan mana-mana pemimpin yang didapati bersalah atas sesuatu kesalahan yang melibatkan dana berbilion ringgit.

"Ia tidak bernilai kepada kedudukan saya jika saya bersubahat mempertahankan mana-mana pemimpin itu dan kita tidak akan memaafkan individu tersebut," katanya.

Namun, beliau menegaskan seseorang tidak boleh terlalu beremosi dalam menuntut tindakan terhadap parti tanpa sebarang bukti kukuh.

"Kita perlu tunggu (untuk siasatan dilengkapkan) kerana kesalahan itu turut dilakukan di luar negara.

"Transaksi perniagaan ini (1MDB) amat kompleks kerana ia melibatkan bidang kuasa yang berbeza, negara lain dan undang-undang lain," katanya.

Namun Johari berkata beliau berpegang kepada prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan benar-benar bersalah.

"Kita tidak sepatutnya menuduh sesiapa sahaja tanpa bukti kukuh dan kita tidak harus menggunakan politik untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin," katanya.

Johari turut mengambil kesempatan mengkritik pentadbiran 1MDB dengan berkata masalah yang dihadapi syarikat itu sebahagian besarnya disebabkan modal perniagaan dan tadbir urus yang lemah secara keseluruhannya.

"Masalah dengan 1MDB adalah ia tidak diuruskan dengan baik. Mangkuk hayun.

"Tapi biarlah saya jujur di sini. Pihak pengurusan yang lemah, walaupun dibayar lumayan, tidak akan mengakui kesilapan apabila ia berlaku dan kita yang menjawab untuk mereka," katanya.

Johari Abdul Ghani, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain