suria

Curi Barangan Pejabat, Penyelia Keselamatan Dipenjara Tujuh Hari

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri di tempat kerjanya sendiri, seorang penyelia keselamatan sebuah kondominium dipenjara tujuh hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Kamala Nathan, 31, selepas dia mengaku bersalah mencuri sebuah iPad, lapan helai tali penyandang, tujuh tag nama dan beberapa biji bateri pelbagai saiz milik pejabat E and O Residence di Jalan Sultan Ismail di sini pada 6.35 pagi, 19 Ogos lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP Zuraimi Kamarozzan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, manakala Kamala Nathan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang ringan dengan alasan dia perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah dan ibu bapanya.

Di mahkamah sama, seorang tukang cat kereta, Yap Yoong Wei, 44, dihukum penjara enam hari dan didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah mencuri tiga batang besi pembinaan dari sebuah tapak projek pembinaan kondominium, di Jalan 9, Taman Len Sen, Cheras pada 7.10 petang, 18 Ogos lalu.

Majistret Mohd Faizal memerintahkan Yap dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan hukuman penjara dan denda atau sebatan.

Terdahulu Zuraimi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Yap, yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah memberi peluang kedua kepadanya kerana dia penanggung utama keluarga dan menjaga dua anaknya setelah berpisah dengan bekas isterinya.

Artikel Lain