SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan sembilan kes penyeludupan spesies terjadual pada tahun ini seperti gading gajah dan Black Pond Tortoise bernilai RM10 juta sehingga Ahad. Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata dalam kes terbaru, Kastam KLIA mematahkan satu cubaan penyeludupan 111 kilogram gading gajah bernilai RM946,689 yang tiba di pintu masuk KLIA pada 4 Ogos lalu. Beliau berkata gading gajah dalam enam bungkusan kargo udara itu dari Entebbe, Uganda dan transit di Istanbul, Turki tiba di KLIA pada 4 Ogos melalui penerbangan Turkish Airline. "Bungkusan yang diikrar sebagai bijirin akan dihantar ke Salak Tinggi (Sepang). Selepas pemeriksaan, alamat itu tidak wujud dan gagal dihubungi," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini Isnin. Chik Omar berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan pengimport dan pemilik gading gajah itu. Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa lesen import boleh dijatuhkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda dari nilai barangan yang disita atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, katanya. Chik Omar berkata gading gajah berkenaan dipercayai adalah untuk pasaran China dan Thailand dan akan diproses menjadi barang hiasan, patung sembahan dan ubat-ubatan. Dalam pada itu, Chik Omar menyerahkan sebanyak 1,174 kilogram gading gajah dan produk separuh siap gading gajah bernilai kira-kira RM10.19 juta yang dirampas pada tahun lalu dan tahun ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Perhilitan Mohd Ali Che Aman. - BERNAMA