PETALING JAYA: Sebutir pingat emas Sukan Olimpik mungkin berharga, tetapi perpaduan rakyat dalam menyatakan sokongan terhadap atlet yang membawa nama Malaysia adalah lebih bernilai, kata Pengerusi Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie. "Semua atlet kita sememangnya menjadi 'emas tulen' buat kita, kerana mereka telah bekerja keras dan berhak mendapat pujian besar. Apa yang tidak ternilai adalah perjalanan atlet kita di Olimpik yangtelah memberi inspirasi kepada perpaduan nasional di kalangan kumpulan etnik berbeza, yang juga merupakan misi dan visi pemimpin di negara ini," katanya. "Saya ingin mengucapkan tahniah dan memuji semua atlet Olimpik Rio. Selepas apa yang berlaku, pingat emas mungkin berharga, tetapi perpaduan negara masih lebih bernilai," kata Heng, yang juga penasihat kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri. Beliau berkata, walaupun negara ini tidak memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik, semangat juang atlet begitu menyentuh hati dan menyatukan seluruh rakyat. "Sumbangan mulia mereka membuatkan kita berbangga menjadi rakyat Malaysia dan setakat ini menjadi hadiah terbaik untuk Hari Kebangsaan yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan Selasa. Beliau berkata memenangi empat pingat perak dan satu pingat gangsa adalah satu pencapaian bagi Malaysia.