suria

Cecair Merkuri Tumpah Di Klinik Kesihatan Merchang

Anggota unit Hazmat menggunakan sulfur dan bahan peluntur untuk membersihkan sisa-sisa bahan kimia mercuri yang tumpah di bilik rawatan Klinik Kesihatan Merchang, Rabu. 
-fotoBERNAMA
MARANG: Sepasukan Unit Bahan Berbahaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Hazmat) terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Merchang di sini pada Rabu untuk membersihkan cecair merkuri yang tumpah di bilik rawatan kira-kira pukul 10.40 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang Abdulah Zawawi Mohamed berkata kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila termometer (mengandungi bahan merkuri) yang digunakan untuk mengukur suhu terjatuh ke lantai bilik rawatan.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kira-kira pukul 10.40 pagi dan menggegaskan lima anggota Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh serta lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Marang ke lokasi untuk membersihkan sisa merkuri tersebut.

"Semasa kejadian, terdapat seorang doktor dan seorang pesakit di dalam bilik rawatan. Kami menggunakan 'sulfur' dan bahan peluntur untuk membersihkan sisa berkenaan," katanya kepada pemberita.

Abdullah Zawawi berkata kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian dan klinik itu kembali beroperasi seperti biasa.

Artikel Lain