suria

Kenangan Haji 2015 Segar Di Ingatan

ASSALAMUALAIKUM. Kumpulan pertama jemaah haji dari Malaysia berangkat ke Tanah Suci Madinah dan Makkah pada 16 Ogos lalu. Melihatkan kumpulan demi kumpulan jemaah berlepas, hati terasa sayu dan teringat pengalaman menunaikan ibadat haji pada tahun lalu.

Segala-galanya segar dalam ingatan. Tidak jemu berkunjung ke Tanah Suci sama ada untuk menunaikan umrah apatah lagi kembara agung mengerjakan ibadat haji. Hanya mereka yang pernah melalui pengalaman haji lebih mengetahuinya.

Kemanisan beribadat ketika musim haji tidak sama ketika umrah. Terlalu banyak pengalaman haji yang terpahat di sanubari. Hanya terpulang kepada seseorang untuk berkongsi cerita dan pengalaman itu atau sebaliknya.

Tanyalah kepada mereka yang pernah mengerjakan ibadat haji. Tentu ada cerita dan pengalaman indah yang ditempuhi sewaktu bergelar tetamu Allah. Tidak kiralah sama ada di Makkah, Madinah, Arafah, Mina dan Muzdalifah.

Kadangkala ketika sesuatu berlaku dan menuntut kesabaran, kita boleh hilang sabar dan pertimbangan kerana tidak berfikir panjang. Namun, jika diperhalusi dan difikir dalam-dalam, semestinya ada hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap kejadian.

Pengalaman pertama menunaikan ibadat haji pada tahun 2000 pernah saya kongsikan di ruangan ini dan kali ini ingin sekali saya mencoretkan pengalaman ketika mengerjakan haji pada tahun lalu.

Sudah tentu sekali pengalaman dilalui berbeza kerana selain diundang sebagai tetamu Allah, saya juga perlu menggalas tugas yang diamanahkan.

Hakikatnya, kedua-dua pengalaman haji yang saya lalui menjadi kenangan abadi dan paling manis dalam kehidupan. Sukar rasanya jika mahu dicerita dan dihuraikan secara terperinci menerusi ruangan ini.

Setelah mendapat tawaran menjadi petugas haji pada tahun lalu, segala persiapan mula diatur. Saya mengikuti kursus haji bersiri di Masjid Hidayah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Selesai kursus, hati semakin berkobar-kobar untuk menuju ke Baitullah.

Adik saya, Muhsin, dari Singapura juga dijadualkan menunaikan haji dan terasa syukur kerana kami dua beradik bakal ke Tanah Suci untuk kembara agung menyempurnakan rukun Islam kelima. Haji yang pertama untuk adik saya itu. 

Biarpun saya kerap menunaikan umrah tetapi peluang mengerjakan ibadat haji sangat menggembirakan saya apatah lagi bertindak sebagai petugas haji untuk kali pertama kerana sebelum ini saya sudahpun beberapa kali bergelar petugas umrah.

Penerbangan saya dan 130 lagi jemaah dijadualkan pada 17 September dan pulang semula ke tanah air pada 12 Oktober 2015. Tempoh yang tidak sampai satu bulan. Namun, Alhamdulillah diundang sebagai tetamu Allah.

Sebulan sebelum berangkat, ibu memaklumkan kepada saya dadanya sering sakit dan doktor keluarga menasihatkannya agar menjalani rawatan lanjutan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana beliau sering mengah. Namun, ibu keberatan dan terus menahan mengah setiap kali jauh melangkah. Beberap kali dipujuk tetapi ibu enggan.

“Kita pergi hospital. Doktor dah suruh ibu pergikan…” pujuk saya sekali lagi.

“Tak payahlah dulu. Kita pergi doktor di Ampang Point je. Dapatkan pandangan kedua daripada doktor tu,” balas ibu.

“Oklah, nanti Ana bawa ibu pergi,” balas saya pula.

Saya akur dengan permintaan ibu agar membawanya berjumpa doktor yang disarankan oleh sepupunya. Seperti pandangan doktor sebelum itu, ibu perlu menjalani rawatan lanjut di IJN kerana jantungnya agak lemah dan mudah penat apabila berjalan jauh sedikit.

Untuk sementara waktu, ibu diberi ubat-ubatan. Namun, doktor berkenaan turut menasihatkan ibu agar menjalani rawatan segera. Saya turut menasihatkan ibu agar ke hospital tetapi beliau pula mengatakan biarlah segala urusan pemergian saya dan Muhsin selesai kerana dia mahu menghantar kami di lapangan terbang.

Tanggal 17 September, berangkatlah saya ke Makkah. Sebelum keluar dari rumah, ibu memeluk erat dan memohon agar saya mendoakannya. Dia menangis semahu hati. Saya tidak dapat menahan tangisan melihatkan keadannya begitu.

Dari seraut wajahnya, ibu tampak risau. Saya tanyakan kenapa kelihatan gusar tetapi ibu tidak menjawab pertanyaan saya. Namun, saya faham ibu sedih dan risau kerana tragedi kren tumbang di Masjidil Haram masih segar dalam ingatan.

Seminggu sebelum saya berangkat, tragedi kren tumbang menggemparkan penduduk dunia, terutama umat Islam. Justeru, setiap kenalan, sahabat dan saudara mara yang bertandang dan menghubungi saya menasihatkan agar berhati-hati di Tanah Suci.

“Jaga diri baik-baik…Jangan jalan seorang di sana nanti.” Itu antara pesanan daripada saudara mara, sahabat dan kenalan.

Semua risau dan sedih dengan kejadian yang begitu menyayat hati namun saya katakan kepada mereka, insyaAllah tiada apa-apa yang berlaku lagi selepas ini dan mengucapkan terima kasih. Saya juga sering meminta agar mendoakan kesihatan dan keselamatan saya untuk melancarkan segala urusan ibadat dan tugas yang perlu digalas.

Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Saya dan kumpulan jemaah haji Destinasia Travels Sdn Bhd menaiki pesawat Saudi Airlines pada jam 4.50 petang ke Jeddah. Sebelum berangkat sekali lagi saya bersalam dan memeluk ibu dan menasihatkannya agar ke hospital untuk jalani rawatan lanjut. Ibu sekadar mengangguk.

Saya berjalan menuju balai berlepas. Sebak dan sedih meninggalkan keluarga. Namun, pada masa yang sama saya bersyukur dan terharu kerana berpeluang menunaikan haji sekali lagi. pesawat berangkat mengikut jadual dan tiba di terminal haji pada jam 8 malam waktu tempatan.

Setelah tiba di Jeddah dan membeli  sim kad, saya maklumkan kepada suami, saya dan kumpulan jemaah selamat tiba di Jeddah. Bagaimanapun, kami tersadai di terminal haji selama 12 jam untuk urusan imigresen sebelum bergerak ke Makkah.

Setiba di Makkah dan urusan daftar masuk selesai, saya dan rakan jemaah sebilik, berehat seketika sebelum menyempurnakan tawaf selamat datang (bagi jemaah haji ifrad) dan tawaf umrah (bagi jemaah haji tamatuk).

Sesekali saya memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai pergerakan saya di Tanah Suci selain turut berkongsi gambar mengenai persekitaran Masjidil Haram dan tapak kren tumbang.

Saya dimaklumkan oleh adik-adik bahawa ibu ke Singapura sejurus pulang dari menghantar saya di KLIA kerana Muhsin berangkat keesokan harinya. Tidak pernah saya duga keadaan ibu ketika itu tatkala menatap gambarnya di dalam kenderaan adik saya sebelum berlepas ke Singapura.

Hari silih berganti. Dua hari sebelum berangkat ke Arafah saya dikejutkan dengan berita dari tanah air. Telefon di sisi tidak berhenti-henti bergetar. Saya melihat telefon dan menerima Whatsapp daripada anak saudara yang mengirim gambar ibu di IJN.

Saya membalas whatsapp daripada grup keluarga untuk mengetahui keadaan ibu. Adik-adik pula memaklumkan saya secara peribadi mengenai keadaan ibu. Ibu hanya perlu menerima rawatan dan perlu berehat untuk beberapa hari di IJN. Hati saya sedih ketika itu. Saya berdoa agar ibu kembali sihat.

Dengan rakan-rakan sebilik saya memohon agar mereka mendoakan kesihatan ibu saya. Mereka bersimpati dan menasihatkan saya agar bersabar.

Pada hari berangkat ke Arafah, saya sibuk menguruskan pelbagai kelengkapan untuk dibawa ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Akibat keletihan, saya terbaring di atas katil di dalam bilik 313A di Hotel Al-Jewar, yang terletak kira-kira 50 meter dari perkarangan Masjidil Haram.

Dalam pada terbaring itu, telefon bimbit tidak henti-henti bergetar menunjukkan banyak Whatsapp masuk. Saya membaca satu daripadanya daripada adik ipar saya yang meminta agar menghubungi ibu dan menasihatkannya untuk pulang semula ke IJN bagi menerima rawatan lanjutan.

Saya terkejut kerana tidak sangka ibu sudah keluar dari hospital dalam masa yang singkat. Justeru, saya menghubungi ibu. Suaranya hiba tetapi saya tetap menguatkan semangat untuk berbual dan bertanya khabar.

Mendengar suara saya, ibu gembira mengetahui saya akan berangkat ke Arafah pada malam itu. Tidak putus-putus ibu memohon agar mendoakannya. Saya menasihatkan ibu agar mengikut setiap rawatan yang perlu dijalani dan mengambil ubat-ubatan disarankan.

Saya yakinkan kepada ibu bahawa saya dan rakan-rakan sebilik mendoakan kesihatannya dan memohon agar ibu juga mendoakan saya.

“Lepas hari raya nanti, ibu masuk IJN balik,” pinta saya.

“Malaslah. Nak cucuk sana sini,” balas ibu.

“Ibu kena ikut cakap doktor. Nak sihat kan…jadi mesti masuk IJN semula. Jangan tunggu Ana untuk dapatkan rawatan. Lambat lagi Ana nak balik. Ibu jangan tunggu,” pinta saya berkali-kali.

“Baiklah. Iyelah. Nanti ibu pergi balik ke IJN. Entah apa yang mereka nak buat,” balas ibu lagi.

Saya terasa lega mendengarnya. Alhamdulillah, ibu akur dengan pesanan saya dan kembali semula ke IJN selepas Aidiladha untuk menjalani rawatan lanjut.

Ikuti catatan saya minggu depan, insyaAllah.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan