suria

Awan Bergulung Gemparkan Penduduk Pekan Langkap

TELUK INTAN: Awan bergulung seperti ombak gadang yang muncul di ruang angkasa Pekan Langkap dan Chui Chak pagi Khamis menggemparkan penduduk sekitar kawasan itu.

Fenomena bentuk awan yang kelihatan seperti tsunami itu dapat dilihat penduduk berkenaan selama kira-kira 15 minit.

Sejurus selepas itu, langit tiba-tiba berubah menjadi gelap dan hujan turun dengan lebatnya hampir satu jam membasahi bumi Langkap dan Chui Chak. 
Formasi awan luar biasa berbentuk 'ombak besar' dan 'puting' beliung itu berlaku antara pukul 7.30 hingga 8 pagi.

Ia menjadi viral di media sosial.

Ada pengguna media itu menzahirkan rasa gerun dengan fenomena itu.

Menurut Ketua Kampung Chui Chak, Yeap Lai Hock, ketika kejadian beliau dan beberapa anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung sedang bergotong-royong membersihkan dewan kampung itu.

"Saya dan kawan-kawan rasa sangat teruja dan terus menangkap gambar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurut Yap, tidak lama selepas itu, langit terus berubah menjadi gelap dan hujan turun dengan lebatnya hampir satu jam.

Beliau berkata, sepanjang 54 tahun tinggal di Langkap beliau tidak pernah melihat kejadian seumpama itu sebelumnya.

Rasimah Mohd Syad, 50, pula berkata beliau tidak pernah melihat kejadian seumpama itu seumur hidupnya.

"Ketika kejadian saya berada di Pasar Awam Langkap.

"Saya cukup teruja dengan tanda-tanda kebesaran Ilahi ini," katanya.

Artikel Lain