SEREMBAN: Polis Seremban menafikan dakwaan kononnya ada sekumpulan paderi berbangsa Melayu sedang bergerak aktif di negeri ini. Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata isu tersebut adalah isu lama yang diviralkan semula tanpa dipastikan kesahihanya. "Ini gambar lama, masa saya (bertugas) di Perak pun dah ada. Diviralkan semula," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat. Bagaimanapun, katanya pihak polis ada menerima laporan berhubung pengedaran Bible yang diletakkan pada kenderaan di kawasan letak kereta stesen Keretapi Tanah Melayu Seremban. "Kami terima laporan pada 9 Ogos lepas dan siasatan dibuat oleh polis Jasin, Melaka kerana kejadian sama juga berlaku di Jasin sebelum itu. "Pihak polis sentiasa memantau, dan selepas itu tiada lagi kejadian ataulaporan yang pihak kami terima," katanya. -Bernama