suria

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kedua Meninggal Dunia

PUTRAJAYA: Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani, Mohd Amran Hashim, 51, meninggal dunia akibat serangan jantung pada Jumaat.

Allahyarham meninggal dunia pada 11.38 pagi ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke sini untuk menghadiri satu mesyuarat.

Menurut Setiausaha Sulit Johari, Wan Hartini Wan Ngah, Allahyarham tiba-tiba sahaja pengsan di dalam kenderaan yang dinaikinya dan dipercayai meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke Hospital Putrajaya.

"Allahyarham baru sahaja mendarat di KLIA dari Terengganu kerana mengikut menteri menghadiri mesyuarat di sana.

Beliau mungkin mendapat serangan jantung kerana terlalu penat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jenazah Mohd Amran dibawa pulang ke kediamannya di Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi, Selangor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Luar, Kajang.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Khursiah Abdul Aziz dan dua anak perempuan berumur 23 dan 18 tahun. -Bernama

Artikel Lain