suria

Bekalan Barang Keperluan Cukup Menjelang Aidiladha

GEORGE TOWN: Bekalan bahan keperluan dijamin mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha bulan depan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. 

Beliau berkata setiap kali musim perayaan, pihak kementerian akan memantau bekalan bahan mentah bagi memastikan ia mencukupi untuk memenuhi pemintaan yang tinggi.

"Kita mempunyai stok barangan keperluan tempatan yang mencukupi dan sekiranya ada keperluan, kami akan mengimport bagi memastikan umat Islam dapat menyambut ibadah korban ini dengan sempurna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri dan Pemuda Umno bahagian Bayan Baru di sini Sabtu malam.

Katanya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkemungkinan akan melaksanakan pemantauan menyeluruh di seluruh negara bagi memastikan harga barangan keperluan tidak dinaikkan sesuka hati.

Umat Islam di seluruh negara dijangka menyambut Hari Raya Aidiladha pada 12 September, yang kebetulan jatuh pada minggu cuti persekolahan yang bermula dari 10 hingga 18 Sept. -Bernama

Artikel Lain