GEORGE TOWN: Mayat Rosmin Selamat, 62, yang lemas dalam kejadian bot karam di Pantai Utama, di sini dijumpai oleh orang awam di Perairan Gurney, Ahad. Komander Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Azman Samsudin berkata mayat lelaki itu ditemui terapung pada pukul 8.04 pagi, kira-kira 35 jam selepas mangsa dilapor hilang dalam kejadian tersebut. "Mayat Rosmin dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya di sini pada Ahad. Rosmin hilang dalam kejadian pukul 7 malam Jumaat lepas apabila bot yang membawa tujuh orang untuk melakukan kerja mengukur bagi projek tambakan tanah, terbalik akibat dipukul ombak kuat. Enam daripada mangsa yang terdiri daripada empat warga Indonesia dari Acheh serta dua rakyat tempatan diselamatkan anggota bomba dan penyelamat serta nelayan. Sementara itu, anak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Samsul, 30-an berkata keluarganya menerima dengan reda kejadian tersebut walaupun pada mulanya berharap ayahnya yang merupakan bekas anggota tentera laut akan ditemui selamat. "Jenazah akan dibawa balik ke Manjong, Perak untuk dikebumikan di sana selepas selesai urusan bedah siasat," katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang.-Bernama