suria

'Bangsa Johor' Untuk Malaysia Yang Lebih Sejahtera - Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, konsep 'Bangsa Johor' membawa lebih banyak kebaikan untuk Malaysia dan tidak menyebabkan Johor kelihatan bersifat parokial.

"Walaupun beta berbangga menyatakan bahawa Beta adalah 'Bangsa Johor', tetapi Beta tetap warganegara Malaysia. Apabila di luar negara, sekiranya sesiapa bertanya Beta dari mana, Beta dengan bangga bertitah, 'Malaysia'.

"Kami tidak mempunyai sebarang motif tidak baik atau agenda tersembunyi.

Niat kami tetap demi Malaysia yang lebih sejahtera.

"Sekiranya Beta diberi peluang untuk menyatukan rakyat Malaysia, Beta akan menunaikannya. Beta akan mencemar duli berangkat ke seluruh negara kerana Beta tahu bagaimana hendak melakukannya," titah Sultan Ibrahim yang dipetik daripada wawancara eksklusif dengan akhbar harian berbahasa Inggeris , New Straits Times, yang disiarkan pada Selasa.

Sultan Ibrahim bertitah, seperti Johor, negeri lain juga patut mempunyai identiti masing-masing agar rakyat Malaysia dapat meraikan perbezaan yang wujud.

Menjawab soalan tentang teguran keras baginda terhadap kritikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai 'Bangsa Johor', Sultan Ibrahim bertitah, seseorang yang tidak tahu mengenai sejarah atau latar belakang sesuatu perkara, usahlah bercakap mengenainya.

Ketika menjawab soalan hadirin mengenai 'Bangsa Johor' pada satu majlis baru-baru ini, Dr Mahathir mengkritik perkara itu dengan berkata trend memberi penekanan tentang "kewarganegaraan negeri" boleh meruntuhkan perpaduan rakyat Malaysia.

Sultan Ibrahim bertitah, sejarah konsep 'Bangsa Johor' bermula pada kira-kira tahun 1920 apabila nenda baginda, Sultan Sir Ibrahim mendapatinya perlunya mensyukuri dan menyatukan pelbagai kaum yang sama-sama menyumbang ke arah pembukaan Johor.

"Orang Cina, India dan Jawa semuanya dipelawa menyertai orang Melayu pada sekitar tahun 1800 oleh ayahanda baginda, Sultan Sir Abu Bakar, dan nenda baginda, Temenggung Daeng Ibrahim, untuk mencari rezeki di Johor. Mereka bekerja keras memugar tanah dan membina Johor yang dipenuhi hutan belantara dan mempunyai jumlah penduduk yang amat kecil ketika itu," titah baginda.

Sultan Ibrahim juga menyentuh tentang idea membangunkan Johor melalui skim  perumahan Rumah Johor, projek Bank Johor, projek kereta api Maglev dan isu air, yang baginda sifatkan sebagai "isu yang amat besar".

Mengenai Rumah Johor, baginda bertitah, skim itu, yang dilaksanakan di bawah Yayasan Sultan Ibrahim, sebuah badan bukan bermotifkan keuntungan, akan menawarkan rumah paling murah dan dengan kualiti terbaik kepada rakyat.

Sambil menjelaskan bahawa projek Bank Johor akan digandingkan dengan skim perumahan Rumah Johor, Sultan Ibrahim bertitah bahawa ia dirancang untuk menjadi sebuah lagi bank komersial, selepas bank koperasi, Bank Rakyat, yang akan memberi fokus terhadap penyediaan pinjaman untuk kumpulan berpendapatan rendah.

Berikutan kesesakan teruk yang berlaku di Tambak Johor setiap hari, Sultan Ibrahim bertitah baginda berharap Maglev dapat memasuki Singapura.

Mengenai isu air, baginda bertitah, Malaysia patut belajar daripada Singapura mengenai cara mengurus air.

"Usah malu! Kenapa perlunya kita pilih negara jauh untuk belajar? Ia akan membazirkan wang kerajaan. Kita sepatutnya mengitar semula air untuk kegunaan industri," titah baginda.

Ditanya sama ada parti politik baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memecahbelahkan lagi orang Melayu, Sultan Ibrahim dengan pantas bertitah:

"Kedudukan Beta mengatasi politik. Beta tidak terlibat dengan politik.

Tanggungjawab Beta ialah untuk menyatupadukan semua 'Bangsa Johor'. Bukan sebaliknya. Itu saja yang ingin beta titahkan."

Artikel Lain