suria

Mahasiswa Jangan Gadai Masa Depan - Azalina

KUALA LUMPUR: Golongan mahasiswa diingatkan supaya tidak menggadaikan masa depan dan peluang mereka untuk berjaya dengan melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan haram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mahasiswa seharusnya mendahulukan tanggungjawab mereka terhadap diri sendiri dan keluarga yang mengharapkan kejayaan mereka.

"Tidak semestinya terpelajar dan mempunyai pendapat sendiri mahasiswa ini perlu menjerit dan bersorak di Dataran Merdeka misalnya atau di jalanan untuk menyuarakan pandangan mereka.

"Jangan biarkan peluang kejayaan berakhir dengan anda diambil tindakan sehingga lebih teruk dibuang universiti kerana menyertai aktiviti politik secara haram," katanya ketika berucap pada program Malam Bersama Alumni Minggu Haluan Siswa 2016/2017 di Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KKTB), Universiti Malaya di sini pada Isnin malam.

Azalina, yang merupakan alumni dan bekas penghuni KKTB pada 1984 hingga 1988, berucap di hadapan kira-kira 500 pelajar baharu yang juga penghuni kolej berkenaan.

Azalina turut mengingatkan mahasiswa agar mensyukuri dan berterima kasih atas segala perkhidmatan pendidikan yang lengkap disediakan kerajaan untuk rakyat Malaysia.

"Apa yang penting bagi mahasiwa ialah belajar hingga berjaya. Jangan fikir yang lain. Jika mahu berpolitik habiskan pelajaran dahulu, selepas itu anda boleh berpolitik...itu hak anda," katanya.

Beliau seterusnya berkongsi pengalaman empat tahun sebagai mahasiswa di Universiti Malaya, termasuk ibu jari kakinya putus akibat kemalangan motosikal di kampus, sebelum ia berjaya disambung semula.

"Itu pengalaman yang tidak boleh saya lupa. Apa yang manis, semua  rakan-rakan tidak kira kaum waktu itu banyak membantu saya sewaktu menghadapi situasi sukar. Itulah antara keistimewaan Universiti Malaya," katanya.

Azalina Othman Said

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain