GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang pada Selasa menasihati mereka yang membuat bayaran kepada individu tertentu yang menjamin mereka akan mendapat rumah di bawah program perumahan negeri supaya membuat laporan polis. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri Jagdeep Singh Deo berkata anggapan bahawa sistem sedia ada memperuntukkan bahawa seseorang yang membuat bayaran tertentu akan mendapat rumah awam adalah tidak berasas. Katanya, persoalan bayaran yang dibuat kepada individu tertentu akan menjamin seseorang itu mendapat rumah, tidak timbul sama sekali. "Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa proses pemilihan individu untuk mendapatkan rumah awam adalah sangat teliti dan ketat. Orang ramai dinasihati supaya berwaspada dengan individu yang mendakwa mereka boleh memintas proses ini. "Sekiranya terdapat sebarang soalan, mereka dinasihati supaya berhubung terus dengan saya atau mana-mana pegawai saya," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa. Pada Isnin, naib pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong mendedahkan satu klip video mengenai perbincangan tentang bayaran bagi mendapatkan rumah kerajaan negeri. Oh berkata perbualan dalam video itu menyebut bahawa ia dirakam tahun lepas dan bapa anggota dewan undangan negeri Sungai Pinang daripada DAP Lim Siew Khim dilihat bersama-sama orang tengah menangani aduan daripada seseorang yang dipercayai membuat bayaran, tetapi tidak mendapat rumah yang dimaksudkan. Lim menafikan penglibatannya dan memisahkan diri daripada dakwaan kaitan bapanya dengan amalan rasuah melibatkan satu kes mendapatkan rumah kos rendah oleh seorang pembeli. Jagdeep berkata proses pemilihan dikendalikan pegawai daripada Jabatan Perumahan negeri, yang menentukan kelayakan berdasarkan keterangan diri seseorang pemohon melalui permohonan yang dikemukakan dengan menggunakan Borang PN1. Berikutan wujud keperluan ketara bagi memantapkan lagi proses pemilihan pemohon untuk mendapatkan rumah di bawah program perumahan awam, pada Ogos 2013, Jawatankuasa Pemantapan Proses Pemilihan (SPEC) dianggotai lapan wakil yang dipilih, ditubuhkan bagi mengawasi keseluruhan proses pemilihan itu, katanya. Menurut beliau, ketika ini, senarai pemohon daripada Jabatan Perumahan Negeri menunjukkan terdapat 12,424 pemohon bagi rumah mampu milik Jenis A (kos rendah); Jenis B kos sederhana rendah (17,673 pemohon); Jenis C1 berharga RM200,000 (4,616 pemohon); Jenis C2 berharga RM300,000 (2,335 pemohon) dan 1,205 pemohon bagi rumah mampu milik Jenis C3 (RM400,000). - BERNAMA