suria

Program Bermalam Di Muzium 2016 Bakal Catat Dalam MBOR

Peserta program bermalam di muzium menurunkan Bendera Union Jack dan menaikkan Jalur Gemilang dengan diringi lagu Negaraku pada detik Ambang Merdeka bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 pada Program Perdana Bermalam di Muzium Perak, Taiping. Selasa malam.

KUALA LUMPUR: Program perdana 'Bermalam di Muzium 2016' yang dijalankan serentak di 22 muzium yang berada di bawah naungan Jabatan Muzium Malaysia seluruh negara bakal tercatat di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk penyertaan pelajar terbanyak membabitkan lebih 1,500 pelajar.

Program itu yang bermula semalam, dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016.

Di TAIPING, seramai 103 pelajar sekolah menengah daerah Larut, Matang dan Selama menyertai program itu yang diadakan di Muzium Perak Taiping.

Pengarah Muzium Perak Taiping Nor Hamisah Ahmad berkata program tersebut diadakan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

"Melalui program seperti ini kami dapat bangkitkan semangat jati diri dan cintakan negara dalam kalangan anak-anak muda ini kerana mereka pelapis negara dan bakal pemimpin di masa hadapan.

"Dengan aktiviti begini juga kami berpeluang menerangkan secara terperinci  peranan muzium dan mengajar mereka nilai warisan sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi," katanya kepada Bernama.

Program itu disertai pelajar berumur 14 hingga 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Doktor Burhanuddin, Taiping; SMK Perempuan Treacher Methodist, Taiping; SMK Kamunting; SMK King Edward, Taiping dan SMK Bukit Jana, Kamunting, program itu diadakan di Muzium Adat, Jelebu bermula disertai 60 pelajar berusia 14 hingga 17 tahun dari seluruh daerah Jelebu.

Peserta diberi peluang merasai pengalaman tidur beramai-ramai di dalam galeri beralaskan tikar yang disediakan pihak muzium manakala peralatan tidur yang lain dibawa sendiri oleh peserta.

Antara pengisian program pada hari pertama, persembahan berkumpulan daripada para peserta yang berunsurkan patriotik, aktiviti 'Perisai Zaman' iaitu menghayati lagu patriotik, melakonkan sketsa berunsurkan patriotisme, mengenali lebih dekat bendera Malaysia dan Jata Negara. 

Sambutan ambang merdeka dimeriahkan oleh para peserta yang berhimpun di perkarangan muzium sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan 'merdeka' apabila memasuki detik 12 tengah malam dan program kemudiannya disusuli nyanyian Lagu Negaraku.

Bagi Muhd Asyraf Ismail, 14, pelajar Sekolah Menengah Rendah Agama Kuala Klawang menyatakan rasa keterujaannya apabila berpeluang menyertai program itu contohnya, aktiviti 'explorace' memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aspek moral dan pemantapan jati diri sebagai rakyat Malaysia. 

"Apa yang saya dapat daripada program seperti ini, ia bukan sahaja memberi saya satu pengalaman baharu tetapi ia juga memberi saya maklumat tentang sejarah Negeri Sembilan dan sejarah negara melalui aktiviti yang dijalankan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu. 

Turut berkongsi perasaan sama Nur Farahin Ain Yahya, 16, pelajar Sekolah Menengah Undang Jelebu yang menyifatkan program ini mampu memupuk semangat muhibah. 

"Saya rasa gembira selain memupuk semangat cintakan negara, program ini turut memberi peluang tidur bersama rakan-rakan dalam suasana yang terbuka tanpa bilik, tidak mengira bangsa.

"Kita tidur sekali, tiada perbezaan pun dirasai, bila kita bersatu dan bersama seperti ini, bayangkan jika ia berterusan seperti ini sudah pasti ia akan menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya. 

Nur Farahin juga tidak pernah terlintas di fikirannya, dapat merasai pengalaman bermalam di dalam muzium kerana muzium lebih sinonim dengan hadir untuk lawatan bagi mengenali sejarah dan adat, katanya. 

Katanya, pengisian program itu juga lebih berbentuk pengukuhan moral serta jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Sementara itu, See Enn Shin, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Undang Musa Al-Haj berkata program yang melibatkan pembabitan pelbagai kaum seperti itu merupakan program kali kedua disertainya. 

"Saya rasa gembira kerana telah terpilih untuk sertai program ini...Kali pertama saya sertai program berunsurkan patriotik seperti ini adalah tahun lepas iaitu program perpaduan. Bila kita bersama seperti ini, kita tidak rasa ada perbezaan," katanya. --Bernama

Artikel Lain