PUTRAJAYA: Usaha untuk mendapatkan keadilan selama hampir enam tahun bagi membersihkan nama anak-anak mereka yang didakwa ditembak polis, berjaya pada Khamis bagi keluarga tiga remaja. Mahkamah Rayuan di sini membenarkan tuntutan yang dikemukakan keluarga Muhammad Shamil Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 20, dan Muhamad Hanafi Omar, 22, terhadap polis dan kerajaan. Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan tujuh anggota polis, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara serta kerajaan, bertanggungjawab ke atas tindakan tembak itu dan memerintahkan mereka membayar ganti rugi kepada keluarga remaja berkenaan. Mahkamah membenarkan rayuan keluarga simati untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak tuntutan mereka terhadap polis dan kerajaan. "Kami berpendapat hakim perbicaraan khilaf dalam mengatakan responden tidak bertanggungjawab," kata Hakim Zawawi yang bersidang dengan Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli. Hakim Mohd Zawawi mengembalikan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi bagi menilai jumlah ganti rugi. Beliau juga memerintahkan polis dan kerajaan supaya membayar kos sebanyak RM40,000 kepada keluarga tiga remaja itu.