KOTA BARU: Seorang jurutera syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di sini, yang direman sejak 20 Ogos lepas bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan pada Khamis dengan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin tanpa cagaran. Perintah tersebut dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Majistret Amni Mat Jahari di sini. Lelaki berusia 30 tahun itu sebelum ini direman bersama dua juruteknik syarikat GLC yang sama ketika memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan susulan penahanan seorang pegawai kanan GLC yang sama di Kota Baru 15 Ogos lalu. Bagaimanapun, pegawai kanan dan dua juruteknik GLC itu yang turut ditahan reman dibebaskan dengan jaminan minggu lalu. Pada 15 Ogos lepas, tiga individu termasuk dua bergelar Datuk Seri dan Datuk ditahan dalam operasi serentak yang dijalankan SPRM di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan atas dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. - Bernama