KUALA LUMPUR: Selaras dengan perniagaan dalam talian yang semakin berkembang, wujud satu sindiket yang menawarkan kemudahan membeli sijil cuti sakit (MC) melalui media sosial kepada pelanggan. Iklan aktiviti palsu itu dibuat secara terang-terangan, di mana pelanggan yang berminat perlu membayar RM30 untuk MC tersebut dan ia akan dihantar menggunakan PosLaju dalam masa sehari. Kementerian Kesihatan telah menggesa majikan yang mengesyaki pekerja mereka mengambil cuti sakit menggunakan MC palsu atau yang dibeli supaya membuat laporan polis dan mengambil tindakan dalaman. Sindiket ini, yang aktif di Facebook mengiklankan aktivitinya ini sebagai satu kumpulan yang mampu menawarkan 'hujung minggu lebih panjang bersama orang tersayang' dengan menjual sijil cuti sakit palsu. Pelanggan diminta untuk memasukkan wang RM30 ke dalam akaun bank, yang dimiliki oleh proksi dan kemudian menghantar mesej menyatakan bilangan hari 'cuti sakit' yang diperlukan dan pilihan penyakit. Sindiket itu mendakwa bahawa ia sentiasa mengekalkan tahap budi bicara yang tinggi. "Jangan bimbang, kami menyembunyikan semua rekod kami, jadi, jika kena (tangkap) mereka juga tidak boleh cari rekod kami dan anda akan selamat. Sebab itulah kami hanya buat penghantaran melalui pos. Mereka tidak akan tahu klinik mana dan siapa pembelinya," kata sindiket itu membalas WhatsApp The Star. MC yang dibeli oleh The Star itu sampai melalui pos dan dilihat datangnya dari sebuah klinik yang terkenal di Subang Jaya, ditandatangani oleh seorang doktor yang disahkan bekerja di situ. Walau bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata kebanyakan MC palsu mungkin tidak datang dari klinik itu sendiri tetapi sebaliknya dipalsukan oleh sindiket. "Ia nampak asli. Ada nombor siri dan nama doktor, tetapi ia boleh dipalsukan. Malah nama saya pun telah digunakan dalam MC palsu sebelum ini. "Mungkin ia tidak datang daripada doktor sebenar tetapi oleh ahli sindiket. Apabila kami menyemak nombor siri pada sijil cuti sakit, kami dapati ia tidak wujud. Justeru ia di luar bidang kuasa Majlis Perubatan Malaysia dan kami perlu membuat laporan polis," katanya. Dr Jeyaindran berkata kementerian bagaimanapun akan menjalankan siasatan ke atas klinik yang dinamakan dalam MC palsu yang diperolehi oleh The Star. Sementara itu, dalam satu kenyataan, kementerian menggesa agar aduan mengenai sindiket MC palsu itu dibuat di [email protected] . Menurut kenyataan itu, mereka yang membeli dokumen ini sebagai memberi implikasi negatif kepada produktiviti dan integriti negara.