GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan perintah reman terhadap Lim Keat Seong, bapa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang Lim Siew Khim pada pagi Jumaat. Beliau disoal siasat selama lima jam pada Khamis selepas pegawai SPRM mengambil beberapa dokumen dari dua pangsapuri di Sungai Pinang dan Paya Terubong. Sementara itu, Siew Khim tiba di pejabat SPRM untuk disoal siasat pada Jumaat. Siew Khim tiba pada pukul 10 pagi ditemani Adun Seri Delima, R.S.N Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal. Keat Seong didakwa memperolehi wang sebagai balasan kerana mendapatkan unit rumah mampu milik untuk pembeli. Namun Siew Khim, wakil DAP menafikan mengetahui aktiviti yang didakwa dilakukan bapanya itu.