suria

Akademi Tentera Darat Mula Operasi Hari Ini

Raja Mohamed Affandi memakaikan lencana kepada jurulatih sempena Perbarisan Pengoperasian Akademi Tentera Darat pada Jumaat. -fotoBERNAMA

PORT DICKSON: Akademi Tentera Darat (ATD) yang mengabungkan Kolej Tentera Darat (KTD) dan Institut Pengurusan Tentera Darat (IPDA) di bawah satu pemerintahan secara rasminya beroperasi pada Jumaat, kata Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata organisasi ATD terdiri daripada tiga komponen besar iaitu Kolej Pegawai, Kolej Pegawai Tidak Bertauliah (PTT) dan Bahagian Pengurusan Latihan.

"Hari ini kami wujudkan ATD sebagai sebuah entiti baru bersesuaian dengan perkembangan dan pembangunan Tentera Darat. Kewujudan entiti ini adalah hasil cetusan idea kepimpinan Tentera Darat untuk menggabungkan KTD dan IPDA sebagai satu ketumbukan yang bertanggungjawab sebagai Pusat Cemerlang Pegawai dan Lain-Lain Pangkat (LLP).

"Melalui pembentukan ini, KTD telah distruktur semula sebagai Kolej Pegawai manakala IPDA pula distruktur semula sebagai Kolej PTT," katanya dalam ucapan sempena Perbarisan Pengoperasian ATD di sini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat Left Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Ahmad Nawawi, Panglima Medan Barat Tentera Darat Left Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim, Panglima Medan Timur Tentera Darat Left Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar dan Panglima Latihan Tentera Darat Mej Jen Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik.

Mengulas lanjut, Raja Mohamed Affandi yang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu menggantikan Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkuat kuasa 16 Disember ini, berkata ATD dan kedua-dua kolej berkenaan akan memainkan peranan dan fungsi yang baharu selaras dengan tujuan penubuhannya.

"Penubuhan ATD adalah berasaskan kepada keperluan menguruskan pembelajaran, latihan dan pengurusan latihan ke arah yang lebih tersusun dengan mengoptimumkan penggunaan aset sumber manusia, infrastruktur dan material supaya lebih efisyen dan efektif.

"Saya yakin dan percaya dengan kewujudan kedua-dua kolej ini akan memacu kecemerlangan kami warga Tentera Darat. Ia akan menjadi pusat-pusat cemerlang yang menumpukan pengeluaran dan melahirkan warga Tentera Darat yang kualitinya tiada tandingan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu semua jurulatih, pelatih, perencana, pentadbir mahupun pelaksana logistik sentiasa bekerja keras menggembleng tenaga bagi memastikan Tentera Darat akan terus dapat mengukir nama, memahat kegemilangan dan menempa kecemerlangan di masa hadapan.

"Hanya inilah kaedah bagi menentukan hasrat untuk menyediakan warga Tentera Darat yang mampu menggalas amanah, bertanggungjawab dan yang akhirnya mampu mempertahankan maruah agama, bangsa serta kedaulatan setiap inci negara di masa hadapan.

"Atas nada itulah, perkembangan ATD perlulah bergerak secara menyeluruh. Segalanya diarah dan disasarkan untuk memenuhi visi yang telah disepakati untuk menjadi sebuah akademi latihan yang unggul, moden, versatile, profesional dan cemerlang dalam pendidikan serta latihan bidang ketenteraan harus menjadi 'end state' kita," katanya.

ATD ditubuhkan pada 3 Ogos 2015 dengan menggabungkan KTD yang ditubuhkan pada 1952 manakala IPDA pada 1928 di bawah satu pemerintahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

KJ Mahu Dedah Kandungan Pendrive

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan