suria

1MDB: PDRM Hantar Permohonan Ambil Keterangan Saksi Di AS

KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menghantar permohonan bantuan bersama dalam perkara jenayah kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi mengambil keterangan saksi di negara itu berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata permohonan itu dibuat bagi memulakan fasa kedua siasatan 1MDB.

"Kami telah hantar kepada pihak berkuasa sana (Amerika Syarikat) untuk mengambil keterangan saksi di luar negara dan ia memakan tempoh masa yang lama,"katanya pada sidang media selepas majlis penghargaan petugas-petugas Aseanapol Ke-36 di Bukit Aman di sini, Jumaat.

Mengenai siasatan fasa pertama 1MDB, beliau berkata Jabatan Peguam Negara telah mengembalikan kertas siasatan 1MDB kepada PDRM kerana ada beberapa perkara perlu dikaji semula.

"Jabatan Peguam Negara mengarahkan beberapa perkara untuk dilaksanakan, jadi kami akan ambil tindakan yang diarah dahulu sebelum melapor semula kertas siasatan kepada mereka," katanya.  

Ditanya jika PDRM akan menyiasat laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan penyelewengan dana 1MDB, Khalid berkata PDRM tidak campur tangan dalam perkara itu.

"Apa jua tindakan di Amerika Syarikat adalah tindakan sivil. Kami tidak akan campur tindakan itu dan jangan cuba kaitkan kami dengan politik.

"Tugas PDRM adalah menjaga keselamatan dan ketenteraman negara dan saya beri amaran jangan heret kami untuk buat kenyataan politil," katanya.

Baru-baru ini, DOJ Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain