suria

"Saya Tidak Tahu Siapa Serah Penderive Kepada TMJ" - KJ

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengakui tidak diberitahu siapa individu yang menyerahkan pemacu pena (pendrive) yang didakwa mengandungi penyelewengan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Tunku Mahkota Johor, (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim.

Khairy berkata, beliau sebaliknya hanya menerima pendrive tersebut dan membaca isi kandungannya seperti yang diminta oleh Tunku Ismail dalam pertemuan mereka di Istana Bukit Pelangi, Johor, Jumaat lalu.

"Saya tak tahu siapa yang serahkan pendrive itu kepada TMJ. TMJ tak beritahu. Beliau mahu lindungi sumbernya juga.

"Saya pun tak tahu siapa yang bagi dokumen itu kepada TMJ. Sudah pasti, kalau betul ada rasuah, mereka tak akan dedahkan siapa ‘whistleblower’ itu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan pemacu pena yang didakwa mempunyai bukti rasuah dan ketirisan dalam FAM di Ibu Pejabat SPRM di sini, Jumaat.

Menurut Khairy, Tunku Ismail juga tidak menyatakan atau menetapkan apa yang perlu beliau lakukan dengan pendrive yang telah diserahkan kepadanya.

"Beliau kata tidak mahu memegangnya lagi dan meminta saya membacanya serta melakukan apa yang perlu dilakukan.

"Saya telah membacanya, ia satu laporan yang besar dan mengambil masa untuk membacanya. Saya fikir ia mengenai kepentingan awam dan ketelusan sebab orang ramai menganggap ia mengandungi rasuah, jadi biar SPRM sahkan sama ada terdapat bukti mengenainya," katanya.

Khairy bagaimanapun berpandangan, keputusannya menyerahkan pendrive itu kepada SPRM sebagai satu tindakan yang tepat.



SPRM, Pendrive, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain