suria

Hubungi Wisma Putra, Kedutaan Malaysia Sebelum Ke Filipina

Serangan bom di pasar malam bandar Davao mengakibatkan 14 maut, manakala lebih 60 lagi cedera.

KEPALA BATAS: Rakyat Malaysia yang berhasrat mengunjungi Filipina diminta menghubungi Wisma Putra atau Kedutaan Malaysia di negara itu bagi mengetahui perkembangan semasa susulan insiden letupan yang berlaku di Roxas Street, Davao City, Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya juga sudah mengeluarkan kenyataan awal mengenai insiden itu dan sehingga kini pemantauan secara teliti berhubung keselamatan di negara berkenaan masih dijalankan.

"Kita masih memantau perkara ini dan kementerian mengingatkan rakyat tempatan yang bercadang untuk ke negara itu supaya dapat berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Manila.

"Davao sebelum ini dikenali sebagai tempat paling selamat di Filipina, tapi kita tidak boleh meletakkan perkara itu sebagai jaminan bahawa kejadian seumpama ini tidak akan berlaku.

Justeru, saya meminta supaya rakyat Malaysia lebih berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Parlimen Kepala Batas, di sini, Ahad.

Semalam, Wisma Putra dalam kenyataan mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden tersebut yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan 24 yang lain cedera di sebuah kawasan pasar malam di situ.

Sementara itu, pada majlis itu, sejumlah 335 individu berusia 45 tahun ke atas memperoleh lesen motosikal kelas B2.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Lain