PETALING JAYA: Lagi banyak kes terbaharu virus Zika akan terus dikesan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Subramaniam. "Pengesahan kes kedua virus Zika di Kota Kinabalu menunjukkan bahawa virus itu sudah ada dalam kalangan komuniti kita. "Pesakit ini tidak pernah pergi ke mana-mana negara lain yang mempunyai bilangan kes tertinggi seperti dilaporkan. "Ini bermakna pesakit itu dijangkiti virus tersebut di dalam negara," kata Dr Subramaniam menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad. Terdahulu, seorang lelaki berusia 61 tahun berbangsa Dusun yang menetap di Taman Public Jaya, Likas dan disahkan positif virus Zika meninggal dunia pada disebabkan komplikasi jantung. Dr Subramaniam berkata kementeriannya masih tidak pasti dari mana datangnya virus itu. Beliau berkata terdapat kemungkinan terhadap individu lain yang dijangkiti dalam komunititi yang juga berpotensi sebagai pembawa jangkitan tersebut. "Kami dalam proses untuk mengesan pergerakan pesakit terbaharu ini sejak beberapa minggu lalu. Kami akan meningkatkan kawalan aktiviti di kawasan tersebut," katanya. Dr Subramanian berkata Kementerian Kesihatan berpendapat kematian pesakit bukan berpunca daripada virus Zika. Katanya, ini kerana pesakit mempunyai masalah kesihatan sedia ada termasuk penyakit jantung dan buah pinggang kronik yang mengancam nyawa.